Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Tenaga

Nombor Soalan

36

Soalan

Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan bagaimanakah pihak Kementerian dapat menjamin salah satu agenda Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) iaitu mengurangkan penggunaan tenaga elektrik sehingga 8% menjelang 2025 dapat dicapai dengan jangkaan penggunaan elektrik yang meningkat akibat daripada situasi iklim yang semakin panas serta perkembangan dan pembangunan industri yang pesat.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman Yang Berhormat Senator,

Pencapaian terkini pengurangan penggunaan tenaga di bawah Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara (National Energy Efficiency Action Plan – NEEAP) sehingga 31 Oktober 2023 adalah sebanyak 5.84% bersamaan dengan 8,588 Gigawatt Jam (GWj) berbanding sasaran pada tahun 2023 iaitu sebanyak 6.1% bersamaan dengan 8,909 GWj.

Berdasarkan kepada pencapaian tersebut, NEEAP berada di landasan yang betul bagi mencapai sasaran pengurangan 8% bagi tahun berakhir 2025. Selain daripada itu, Kementerian ini juga yakin akan dapat mencapai sasaran yang telah ditetapkan apabila Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga (Energy Efficiency and Conservation Act – EECA) 2023 dikuatkuasakan kelak. 

EECA menyediakan kerangka perundangan kecekapan tenaga yang komprehensif bagi mengawal selia, menguatkuasa, menyelaras dan melaksanakan inisiatif kecekapan tenaga termasuk tenaga termal. Sebanyak 1 peraturan dan 8 garis panduan sedang disediakan bagi memudahcara dan membantu pihak berkepentingan mematuhi keperluan EECA.

Melalui penguatkuasaan akta ini ke atas sektor industri, komersial dan domestik (kediaman) sehingga tahun 2050, Kerajaan dijangka menjimatkan penggunaan tenaga yang dianggarkan berjumlah 2,017 juta Gigajoule (GJ) atau bersamaan RM97.1 bilion dan mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 197,877 ktCO2.

Penguatkuasaan Akta tersebut juga dapat mewujudkan 1,000 peluang pekerjaan baharu dan membolehkan Kerajaan membuat perancangan bagi pembangunan tenaga negara dengan lebih berkesan, sekaligus menyumbang kepada inisiatif peralihan tenaga (energy transition) dan mencapai aspirasi pelepasan Green House Gases (GHG) sifar bersih (net-zero GHG emissions) seawal tahun 2050.

Sekian, terima kasih.

Attachments