Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Perhutanan, Biodiversiti

Nombor Soalan

72

Soalan

Datuk Seri Dr. Mujahid bin Yusof minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan usaha yang dilakukan untuk memastikan Kerajaan Negeri patuh dengan dasar penjagaan hutan seperti yang ditetapkan di peringkat Persekutuan.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1.              Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Majlis Tanah Negara (MTN) ditubuhkan pada 22 Januari 1958 berdasarkan Perkara 91 Perlembagaan Persekutuan berperanan sebagai platform untuk Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri membincangkan hal-hal berkaitan dengan dasar negara bagi mengurus, memaju dan mengawal penggunaan tanah untuk maksud perlombongan, pertanian dan perhutanan, serta untuk mentadbirkan mana-mana perundangan yang berhubungan dengannya. Dasar-dasar yang dibentuk melalui MTN hendaklah dipatuhi oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

2.              Beberapa keputusan penting melibatkan sektor perhutanan telah dicapai melalui MTN bagi memastikan khazanah dan sumber semula jadi negara dipelihara dan diusahahasilkan secara lestari seperti berikut:

  1. MTN Ke-70 pada 18 November 2014 telah bersetuju supaya semua pihak mengambil inisiatif untuk mengawal atau seboleh-bolehnya mengelakkan sebarang kelulusan aktiviti perlombongan dan pengkuarian dalam HSK;

  2. MTN Ke-73 pada 30 November 2017 telah bersetuju supaya Kerajaan-kerajaan Negeri mengawal dan mengelakkan kelulusan pembangunan utiliti dan bukan utiliti dalam kawasan HSK dan Rizab Hidupan Liar di Semenanjung Malaysia;

  3. MTN Ke-77 pada 8 September 2020 telah memutuskan kadar CTT bagi tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) ialah seluas 1,163,550 hektar, berkurangan sebanyak 70,890 hektar berbanding jumlah CTT Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11). Penetapan CTT adalah berasaskan kepada keupayaan pemulihan semula jadi (natural regeneration capacity) kawasan yang diusaha hasil;

  4. MTN ke-78 yang diadakan pada 29 Januari 2021 telah bersetuju dengan Dasar Perhutanan Malaysia (DPM) yang mengambil kira kepentingan pengurusan perhutanan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Keberhasilan sebuah dasar perhutanan di peringkat Persekutuan ini mempamerkan usaha kolektif serta komitmen bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri ke arah mencapai pembangunan mampan dan pengurusan hutan secara berkekalan di Malaysia;

  5. MTN Ke-79 pada 2 Disember 2021 telah bersetuju supaya Rang Undang-Undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 dibentangkan di Parlimen. Dalam hubungan ini, Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 telah diluluskan di Parlimen dan diwartakan pada 20 September 2022; daN

  6. MTN Ke-79 pada 2 Disember 2021 juga telah bersetuju dengan pelaksanaan moratorium kelulusan baharu ladang hutan dalam HSK di Semenanjung Malaysia selama 15 tahun.​

Sekian, terima kasih.

Attachments