Pertanyaan | Bukan Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 2 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | | Tahun Persidangan | 2023 | Kategori | Mineral, Geosains | Nombor Soalan | 91 | Soalan | Datuk Lim Pay Hen minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan :-
a) bilangan lombong haram unsur nadir bumi (REE) di seluruh negara dan langkah keberkesanan penguatkuasaan dalam menangani isu tersebut; dan
b) pendirian Kerajaan terhadap cadangan untuk membangunkan industri unsur nadir bumi (REE) memandangkan permintaannya yang tinggi dalam sektor pembuatan, penghasilan teknologi termaju dan teknologi hijau.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua, (a) bilangan lombong haram REE dan langkah keberkesanan penguatkuasaan dalam menangani isu tersebut Pada masa ini, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dengan kerjasama agensi berkaitan antaranya Jabatan Perhutanan Negeri, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) telah mengenal pasti 7 lokasi perlombongan haram unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) iaitu di negeri Kedah, Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan Kelantan. Tindakan telah diambil ke atas kegiatan perlombongan haram tersebut mengikut bidang kuasa di bawah agensi masing-masing.
Serbuan telah dijalankan ke atas lokasi-lokasi yang dikenal pasti di mana sejumlah individu di beberapa lokasi telah berjaya ditangkap dan dikenakan dakwaan di mahkamah. Antara tindakan lain yang telah diambil adalah membuka kertas siasatan (IP) di bawah agensi masing-masing dan penyitaan tapak perlombongan haram serta peralatan yang digunakan bagi tujuan perlombongan.
(b) pendirian Kerajaan terhadap cadangan untuk membangunkan industri REE memandangkan permintaannya yang tinggi dalam sektor pembuatan, penghasilan teknologi termaju dan teknologi hijau NR-REE adalah salah satu mineral strategik negara yang ditetapkan dalam Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 (TIM 2021-2030). Pelan TIM 2021-2023 tersebut menggariskan penetapan pembangunan dan pengurusan industri mineral termasuk NR-REE melalui penekanan kepada penciptaan nilai tambah, pengusahaan lestari dan penggunaan teknologi terkini.
Kementerian sedang memuktamadkan kerangka Dasar Mineral Negara 3 (DMN 3) yang akan menjadi satu dasar yang jelas dan komprehensif untuk menyokong pembangunan industri mineral negara khususnya dalam menyelesaikan isu-isu yang menyekat kemajuan industri serta menetapkan hala tuju baharu yang selari dengan perkembangan semasa. DMN 3 adalah perancangan bersifat holistik di mana hasrat utama Kerajaan adalah untuk membangunkan industri mineral sebagai penyumbang kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat melalui pembangunan keseluruhan rantaian nilai secara bertanggungjawab dan mampan.
Seterusnya, Kementerian juga sedang dalam peringkat akhir untuk memuktamadkan Kajian Model Perniagaan (Business Model) Bagi Pembangunan Industri NR-REE di Malaysia dengan kerjasama Akademi Sains Malaysia (ASM). Kajian tersebut akan memberikan kefahaman yang jelas terhadap keseluruhan ekosistem industri NR-REE di Malaysia serta boleh dijadikan rujukan dan panduan dalam pembangunan industri NR-REE negara.
Sekian, terima kasih. | Attachments |
|
|