Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 3 | Sesi | Mesyuarat Kedua | Tarikh Persidangan | 26 June 2024 | Tahun Persidangan | 2024 | Kategori | Alam Sekitar | Nombor Soalan | 31 | Soalan | Puan Young Syefura binti Othman [ Bentong ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan : (a) sejauh mana usaha dan tindakan Kerajaan bagi mengatasi isu pencemaran sungai di seluruh negara; dan (b) apakah jumlah sungai tercemar menunjukkan penurunan dari tahun ke tahun. | Jawapan | Tuan Yang di-Pertua, Isu pencemaran dan kemerosotan kualiti air sungai di negara ini berpunca daripada pencemaran bersumber (point source pollution) seperti sisa industri dan juga pencemaran tidak bersumber (non-point source pollution) iaitu sisa daripada pasar basah, gerai makanan, dobi, pusat cucian kereta, industri kecil dan sederhana (IKS) serta sisa dari rumah atau setinggan yang dilepaskan tanpa rawatan ke longkang dan dihanyutkan ke sungai. Terdapat juga sektor lain yang turut menyumbang kepada kemerosotan kualiti air sungai termasuklah perbandaran, penternakan, pertanian serta aktiviti komersial yang tidak mempunyai sistem rawatan efluen atau kumbahan yang sempurna.
Memandangkan punca utama kemerosotan kualiti air sungai disebabkan oleh pelbagai sumber yang tertakluk di bawah pelbagai bidang kuasa, isu ini perlu ditangani secara bersepadu dengan penglibatan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan. Kebersamaan dan penyelarasan dengan semua pihak yang terlibat dalam menangani isu-isu kemerosotan kualiti air sungai perlu ditingkatkan bagi memastikan kualiti air sungai negara akan terus terjamin demi kesejahteraan rakyat.
Menyedari kepentingan ini, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah bekerjasama dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam mewujudkan Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan (JK-KAS) yang dipengerusikan oleh YAB Dato' Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri II. Jawatankuasa ini bertujuan untuk memantau isu dan langkah-langkah menangani pencemaran sungai yang merentasi bidang kuasa pelbagai Jabatan/Kementerian dan Kerajaan Negeri. Mesyuarat pertama telah diadakan pada 6 Jun 2024 di Putrajaya dengan kehadiran daripada pelbagai agensi Kerajaan di peringkat Persekutuan dan Negeri.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga telah mengambil pelbagai langkah dalam usaha untuk menangani isu pencemaran sungai di seluruh negara terutama yang tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] termasuk di peringkat penguatkuasaan, perancangan, kajian dan program pengawasan.
Antara langkah yang dilaksanakan oleh JAS adalah seperti berikut:
mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan bagi punca-punca pencemaran yang tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] dan peraturan-peraturan di bawahnya seperti kawalan kepada efluen perindustrian, kumbahan dan kawalan kepada projek-projek yang tertakluk kepada kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (Environmental Impact Assessment, EIA);
memastikan projek-projek pembangunan yang tertakluk di bawah Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling) 2015 terutamanya projek-projek yang melibatkan kerja tanah untuk menyediakan pelan kawalan hakisan dan mendapan dan seterusnya mematuhi syarat-syarat kelulusan laporan EIA yang berkaitan pelepasan kelodakan;
mengenal pasti lokasi aduan yang sering dikaitkan dengan pencemaran supaya strategi penguatkuasaan lebih berfokus;
meningkatkan penggunaan teknologi terkini dalam aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan seperti penggunaan dron dan pelaporan pemantauan alam sekitar secara atas talian; dan
pelaksanaan operasi penguatkuasaan dan pemantauan secara bersepadu dengan agensi-agensi penguatkuasaan dalam menangani isu-isu berkaitan dalam bidang kuasa masing-masing seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan lain-lain lagi.
Selain itu, JAS juga melaksanakan kerja-kerja pengawasan kualiti air secara berterusan melalui Program Pengawasan Kualiti Alam Sekitar (Environmental Quality Monitoring Program - EQMP). Sebanyak 30 stesen pengawasan automatik dan 1,353 stesen pengawasan manual bagi pemantauan kualiti air sungai di seluruh negara. Kementerian juga akan meningkatkan penggunaan data dan maklumat pengawasan kualiti air sungai dalam merancang dan menyusun strategi penguatkuasaan bagi memastikan isu pencemaran sungai-sungai ini dapat ditangani dengan berkesan dan keseimbangan sistem ekologi dapat dikekalkan.
Seterusnya berhubung jumlah sungai tercemar, berdasarkan statistik, terdapat trend penurunan sungai tercemar dari tahun ke tahun. Sebanyak 25 (3.72%) batang sungai daripada 672 sungai yang dipantau oleh Jabatan Alam Sekitar telah menunjukkan Indeks Kualiti Air (IKA) dalam kategori tercemar pada tahun 2023 berbanding 29 (4.32%) sungai tercemar pada tahun 2022. Ini menunjukkan indikator yang positif kerana bilangan sungai yang berada di dalam kategori tercemar telah menurun dari 29 batang sungai kepada 25 batang sungai pada tahun 2023.
Sekian, terima kasih.
| Attachments |
|
|