Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 3 | Sesi | Mesyuarat Kedua | Tarikh Persidangan | 26 June 2024 | Tahun Persidangan | 2024 | Kategori | Alam Sekitar | Nombor Soalan | 52 | Soalan | Dato' Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man [ Kubang Kerian ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan status Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030. Apakah halangan dan perancangan Kementerian bagi mengatasinya.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) tetap komited dalam menangani pencemaran sisa plastik khususnya plastik sekali guna menerusi pelaksanaan Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030 dan Malaysia Plastics Sustainability Roadmap 2021-2030 (MPSR).
Untuk makluman, Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030 telah diperkenalkan pada 17 Oktober 2018. Pelan Hala Tuju ini merupakan rancangan jangka panjang Kerajaan dalam menangani masalah pencemaran plastik di Malaysia secara holistik. Kerajaan telah mengambil pendekatan secara berfasa dalam memperkenalkan setiap tindakan di bawah Pelan Hala Tuju ini supaya lebih berkesan dan bersasar serta membolehkan semua pihak memahami rasional bagi setiap pelan tindakan tersebut. Ini sekali gus akan mendorong pengguna untuk bertindak dan memilih alternatif yang positif serta mesra alam.
Antara inisiatif yang diambil oleh Kerajaan dengan kerjasama Kerajaan Negeri adalah dengan mengenakan caj pencemaran minima sebanyak 20 sen ke atas beg plastik konvensional di premis tetap. Ini adalah selaras dengan pendekatan user pay principle yang mana ia akan berfungsi sebagai deterrent bagi mengurangkan penggunaan dan pencemaran plastik sekali guna.
Selain itu, satu lagi langkah dalam menambah baik pengurusan plastik ialah dengan menerapkan konsep ekonomi kitaran (circular economy) dalam rantaian pengurusan plastik. Langkah ini diyakini akan dapat memastikan plastik yang terhasil adalah plastik boleh dikitar semula. Kerajaan juga berhasrat supaya pembuatan plastik akan ditambah baik secara lestari di peringkat reka bentuk atau design agar ia lebih berfokus kepada reka bentuk yang lestari (sustainable design).
Kementerian sedar bahawa usaha menangani pencemaran plastik melalui 2 pelan hala tuju dan dasar semasa masih belum memadai. Oleh itu, Kementerian kini sedang melihat keperluan untuk mewujudkan satu perundangan khusus berkaitan plastik di Malaysia. Langkah ini diharap akan dapat mempercepatkan peralihan pengurusan plastik daripada ekonomi linear kepada ekonomi kitaran. Kementerian percaya ini akan dapat mengurangkan pencemaran sisa plastik.
Kementerian juga sedang memperhalusi kaedah dan pendekatan yang boleh digunakan dalam memperkasakan pengurusan sisa plastik dengan penerapan konsep ekonomi kitaran dengan pelaksanaan “Sistem terima balik dan sistem bayaran balik” (Deposit Return Scheme - DRS) seperti mana yang dinyatakan dalam Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 [Akta 672]. Justeru itu, Kementerian ini dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan meneliti kesesuaian kaedah pelaksanaan sistem ini.
Akhir sekali, Kementerian komited dan yakin bahawa kempen dan sesi libat urus berterusan yang melibatkan semua pihak amat penting dalam memastikan kejayaan pelestarian plastik ini. Oleh yang demikian, Kementerian akan terus dan kekal bekerjasama dengan semua pihak terutamanya pihak industri dan pertubuhan bukan kerajaan (non government organisation - NGO) dalam meningkat kesedaran masyarakat. Pada masa yang sama, Kerajaan akan berusaha untuk terus menambahbaik pengurusan plastik secara lestari.
Sekian, terima kasih.
| Attachments |
|
|