Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 3 | Sesi | Mesyuarat Kedua | Tarikh Persidangan | 02 July 2024 | Tahun Persidangan | 2024 | Kategori | Perubahan Iklim | Nombor Soalan | 1 | Soalan | Dato' Indera Mohd Shahar bin Abdullah [ Paya Besar ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah tindakan yang diambil Kementerian untuk menyelaraskan proses bidang kuasa Kerajaan pusat dan negeri untuk penjanaan kredit karbon daripada hutan Malaysia.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian mengambil maklum akan dasar dan inisiatif dalam menangani isu perubahan iklim khususnya yang dilaksanakan oleh pihak Kerajaan Negeri. Saya pasti, tindakan pengurangan atau penyerapan gas rumah kaca (Greenhouse Gas – GHG) yang dilaksanakan akan menyumbang secara langsung kepada pencapaian sasaran pengurangan GHG negara dan turut mencerminkan komitmen negara dalam menyumbang kepada tindakan perubahan iklim di peringkat global.
Kementerian juga mengambil maklum akan Perkara 74 (2) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa hutan adalah di bawah bidang Kuasa Kerajaan Negeri. Justeru, setiap negeri mempunyai kuasa dan hak untuk menggubal undang-undang dan menguruskan dasar perhutanan di negeri masing-masing. Kuasa Eksekutif Kerajaan Persekutuan adalah terhad kepada memberi nasihat, bantuan teknikal, latihan, penyelidikan dan pembangunan dalam sektor perhutanan kepada negeri-negeri.
Bagi perkara berkaitan pasaran karbon, Kerajaan telah memutuskan dalam Mesyuarat MTPIN pada 31 Oktober 2023 agar Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) menggalas peranan sebagai pihak berkuasa kebangsaan (national authority) yang akan membangunkan aturan kebangsaan (national arrangement) bagi pelaksanaan mekanisme pasaran karbon di Malaysia selaras dengan keputusan United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCCC). Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Februari 2024 juga telah bersetuju dengan keputusan MTPIN tersebut.
Oleh yang demikian, NRES sedang membangunkan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK) yang akan dibuat secara berperingkat. Dasar ini akan melihat pembangunan pasaran karbon negara secara menyeluruh untuk menyokong pelaksanaan mekanisme pasaran karbon pematuhan dan sukarela di Malaysia. Pelaksanaan DPKK kelak dijangka akan memudah cara pelaksanaan projek karbon oleh pelabur. DPKK akan menyentuh mengenai pasaran karbon pematuhan antarabangsa seperti pasaran karbon di bawah Artikel 6, Perjanjian Paris, dan pasaran karbon pematuhan domestik. DPKK juga akan melihat peranan pasaran karbon sukarela di dalam ekosistem pasaran karbon negara.
Selain itu, DPKK juga dirangka untuk memudahkan pemegang taruh berkaitan seperti kerajaan negeri dan pihak swasta agar industri perdagangan karbon tempatan dapat berkembang. Ini berikutan pelaksanaan pasaran karbon pematuhan di bawah Artikel 6, Perjanjian Paris berpotensi untuk menarik pelabur antarabangsa untuk melabur dalam projek-projek karbon di peringkat negeri. Walau bagaimanapun, pelaksanaannya memerlukan tadbir urus daripada Kerajaan Persekutuan bagi memastikan projek serta kredit karbon yang dihasilkan mematuhi kriteria, panduan dan prosedur yang telah ditetapkan oleh United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCCC) khususnya bagi kredit karbon yang dijual ke luar negara.
Kerajaan Persekutuan juga perlu memastikan agar penjualan kredit karbon ke luar negara tidak akan menjejaskan pencapaian NDC negara untuk mengurangkan intensiti pelepasan GHG yang merentas ekonomi sebanyak 45% pada tahun 2030 berbanding tahapnya pada tahun 2005.
Bagi menyelaras inisiatif di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, NRES akan melaksanakan beberapa sesi libat urus bersama Kerajaan Negeri dan agensi yang terlibat bagi membincangkan dan memperincikan perkara berkaitan DPKK. Sesi ini juga dilaksanakan bagi mendapatkan input dan memahami kepentingan dan keutamaan dari perspektif Kerajaan Negeri di dalam pembangunan DPKK.
Pengoperasian pasaran karbon pematuhan di bawah Artikel 6, Perjanjian Paris juga perlu dibuat mengikut acuan negara. Oleh yang demikian, pelaksanaan sesi libat urus ini juga adalah penting bagi menghasilkan sebuah aturan kebangsaan atau national arrangement untuk menyertai pasaran karbon negara yang selaras dengan proses pembangunan projek karbon di peringkat negeri.
Proses pembangunan DPKK ini adalah selaras dengan pendekatan whole of nation kerana pembangunannya melibatkan proses kumulatif seperti pengumpulan input dan analisis maklumat yang terkini di samping penganjuran sesi libat urus yang menyeluruh bagi memastikan setiap entiti yang bertanggungjawab dapat memainkan peranannya mengikut bidang kuasa masing-masing khususnya bagi perkara seperti guna tanah, perhutanan dan sebagainya. Selain itu, proses ini juga penting agar isu-isu pelaksanaan dapat dikenal pasti di samping memelihara kepentingan pihak-pihak berkaitan.
Dalam masa yang sama, bagi mengalakkan dan menyokong inisiatif penjanaan karbon dari sektor perhutanan, Kementerian telah menubuhkan Malaysia Forest Fund (MFF) sebagai entiti yang bertanggungjawab untuk melaksanakan usaha serta strategi kewangan inovatif bagi sektor perhutanan. Kementerian berharap agar kolaborasi strategik di antara MFF dengan pihak Kerajaan Negeri akan dapat diperkembangkan bagi memastikan pembangunan projek karbon hutan yang dapat menjanakan kredit karbon untuk didagangkan di platform pasaran seperti Bursa Carbon Exchange (BCX). Kementerian juga telah melantik MFF sebagai agensi pelaksana di bawah Dana Pembangunan Projek Karbon Hutan (sebanyak RM5 juta bagi tahun 2024) untuk menjalankan aktiviti bagi menyokong hasrat Kerajaan Negeri yang ingin membangunkan projek karbon dari sektor perhutanan.
Sekian, terima kasih.
| Attachments |
|
|