Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

02 July 2024

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Alam Sekitar, Perhutanan, Biodiversiti

Nombor Soalan

14

Soalan

Tuan Wan Razali bin Wan Nor [ Kuantan ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan tindakan berkaitan kebakaran hutan paya gambut yang kerap berlaku ketika cuaca panas :

(a) apakah tindakan awal yang diambil sebagai langkah pencegahan kebakaran hutan ; dan

(b) pelan tindakan pantas mengawal dan memadamkan kebakaran hutan yang melibatkan agensi rentas Kementerian.



Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah mengambil tindakan awal sebagai langkah pencegahan kebakaran hutan melalui pengaktifan pelan-pelan tindakan sejak Mac 2024 seperti Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan serta Prosedur Tetap Operasi Pencegahan Pembakaran Terbuka dan Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut. Tindakan persediaan menghadapi ancaman pembakaran tanah gambut juga telah mula dilaksanakan di kawasan berisiko terbakar antaranya seperti pengaktifan telaga tiub dan sekatan saliran, peningkatan rondaan darat, penggunaan dron, rondaan penguatkuasaan termasuk bersama komuniti serta melaksanakan program ujicuba Prosedur Tetap Operasi Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut.


  1. Pada masa ini, terdapat 532 infrastruktur yang telah dibina di bawah Program Pencegahan dan Pemantauan Kebakaran di Tanah Gambut Serta Kawasan Lain Berisiko Kebakaran di Negeri Selangor, Pahang, Johor, Kelantan, Terengganu, Sarawak dan Sabah seperti berikut:


  1. 108 unit Telaga tiub;

  2.  305 sekatan saliran;

  3. 15 buah kolam takungan;

  4.  6 menara tinjau;

  5.  3.3 km saluran paip air; dan

  6. 96 unit piezometer.



  1. Kementerian melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Jabatan Perhutanan Negeri turut meningkatkan kesiapsiagaan dalam mencegah kebakaran hutan berikutan cuaca panas dan kering ekstrem termasuk melaksanakan pemantauan dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal, penggunaan dron dan sistem big data analytics bagi mengenal pasti kawasan hutan berisiko tinggi terbakar.


  1. Selain itu, Pasukan Pemadaman Kebakaran Hutan di bawah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia turut bersiap siaga sebagai pasukan awal pemadaman insiden kebakaran hutan dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Semenanjung Malaysia. Pasukan ini melibatkan kakitangan beruniform di Jabatan Perhutanan Negeri iaitu Perak, Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Kelantan, Pahang dan Terengganu.


  1. Program-program komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam terus dilaksanakan bagi menyampaikan kesedaran berkenaan larangan dan pencegahan pembakaran terbuka kepada rakyat.


Tuan Yang di-Pertua,


  1. Bagi menjawab persoalan yang kedua, antara pelan tindakan pantas mengawal dan memadamkan kebakaran adalah dengan:


  1. Mengaktifkan Pelan Pencegahan Kebakaran Terbuka dan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pencegahan Kebakaran Gambut kepada semua pejabat Jabatan Alam Sekitar Negeri dan agensi negeri yang berkaitan;


  1. Meningkatkan operasi pemantauan dan rondaan mencegah pembakaran terbuka melalui darat dan menggunakan pengawasan dron untuk memantau kawasan mudah terbakar serta kes kebakaran terbuka yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab;


  1. Mengambil tindakan proaktif ke atas kes kebakaran yang berlaku dan mengenal pasti pemilik tanah di kawasan kebakaran untuk tindakan undang-undang di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974;


  1. Sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk mengawal dan memadam kebakaran; dan


  1. Sentiasa memantau bacaan dan trend Indeks Pencemar Udara (IPU) melalui stesen pengawasan kualiti udara dari semasa ke semasa untuk memastikan tindakan berkaitan dapat diambil segera.​


Sekian, terima kasih.



Attachments