Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

02 July 2024

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

47

Soalan

Puan Vivian Wong Shir Yee [ Sandakan ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan secara terperinci langkah-langkah yang dilaksanakan oleh Kementerian untuk mencapai sasaran penggunaan sifar plastik guna sekali, atau Zero Single-used Plastics, terutamanya di Sabah.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) tetap komited dalam menangani pencemaran sisa plastik khususnya plastik sekali guna menerusi pelaksanaan Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030 dan Malaysia Plastics Sustainability Roadmap 2021-2030 (MPSR).


  1. Untuk makluman, Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030 telah diperkenalkan pada 17 Oktober 2018. Pelan Hala Tuju ini merupakan rancangan jangka panjang Kerajaan dalam menangani masalah pencemaran plastik di Malaysia secara holistik. Kerajaan telah mengambil pendekatan secara berfasa dalam memperkenalkan setiap tindakan di bawah Pelan Hala Tuju ini supaya lebih berkesan dan bersasar serta membolehkan semua pihak  memahami rasional bagi setiap pelan tindakan tersebut. Ini sekali gus akan mendorong pengguna untuk bertindak dan memilih alternatif yang positif serta mesra alam. 


  1. Antara inisiatif yang diambil oleh Kerajaan dengan kerjasama Kerajaan Negeri ke arah mengurangkan penggunaan plastik dan mengurangkan pencemaran sisa plastik adalah dengan mengenakan caj pencemaran minima sebanyak 20 sen ke atas beg plastik konvensional di premis tetap. Ini adalah selaras dengan pendekatan user pay principle yang ia akan akan berfungsi sebagai deterrent bagi mengurangkan penggunaan dan pencemaran plastik sekali guna.


  1. Untuk makluman, Kerajaan Negeri Sabah melalui Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah melaksanakan Kempen Pengurangan Penggunaan Beg Plastik mulai 11 September 2023. Kempen ini adalah selaras dengan langkah Kerajaan Negeri Sabah untuk menguatkuasakan Enakmen Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2022 dan menyokong Hala Tuju Sabah Maju Jaya di bawah elemen Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau. Kempen oleh DBKK ini telah menampilkan konsep yang berbeza berbanding pengenaan caj 20 sen kepada pengguna yang ingin mendapatkan plastik beg. Konsep kempen pengurangan beg plastik kali ini meminta semua pengusaha yang terlibat diminta untuk tidak lagi membekalkan beg plastik sekali guna kepada pengguna semasa hari kempen iaitu Sabtu, Ahad dan Isnin. Kempen ini merupakan kempen yang berterusan dan akan dilaksanakan secara berfasa.


  1. Selain itu, satu lagi langkah dalam menambah baik pengurusan plastik ialah dengan menerapkan konsep ekonomi kitaran (circular economy) dalam rantaian pengurusan plastik. Langkah ini diyakini akan dapat memastikan plastik yang terhasil adalah plastik boleh dikitar semula. Kerajaan juga berhasrat supaya pembuatan plastik akan ditambah baik secara lestari di peringkat reka bentuk atau design agar ia lebih berfokus kepada reka bentuk yang lestari (sustainable design).


  1. Kementerian sedar bahawa usaha menangani pencemaran plastik melalui 2 pelan hala tuju dan dasar semasa masih belum memadai. Oleh itu, Kementerian kini sedang melihat keperluan untuk mewujudkan satu perundangan khusus berkaitan plastik di Malaysia. Langkah ini diharapkan dapat mempercepatkan peralihan pengurusan plastik daripada ekonomi linear kepada ekonomi kitaran. Kementerian percaya ini akan dapat mengurangkan pencemaran sisa plastik. 


  1. Akhir sekali, Kementerian komited dan yakin bahawa kempen dan sesi libat urus berterusan yang melibatkan semua pihak amat penting dalam memastikan kejayaan pelestarian plastik ini. Oleh yang demikian, Kementerian akan terus dan kekal bekerjasama dengan semua pihak terutamanya pihak industri dan pertubuhan bukan kerajaan (non government organisation - NGO) dalam meningkat kesedaran masyarakat. Pada masa yang sama, Kerajaan akan berusaha untuk terus menambahbaik pengurusan plastik secara lestari.


Sekian, terima kasih.



Attachments