Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

02 July 2024

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

89

Soalan

Tuan Cha Kee Chin [ Rasah ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan status siasatan terhadap kebakaran di Pusat Pengurusan Sisa Kualiti Alam pada 13 April yang lepas. Ini adalah kebakaran ketiga selepas kebakaran pada 2015 dan 2019, apakah Kementerian bersedia untuk menyemak semula kesesuaian tapak pusat ini dan apakah jaminan insiden yang sama tidak akan berulang.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Untuk makluman, Pusat Pengurusan Sisa Kualiti Alam Sdn Bhd (KASB) adalah salah satu premis yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar bagi tujuan mengolah dan melupuskan sisa buangan terjadual secara selamat. Bagi kejadian kebakaran yang berlaku pada 13 April 2024 lebih kurang jam 5.40 petang yang melibatkan kawasan penyimpanan buangan terjadual seluas 100 kaki X 100 kaki persegi. Kebakaran tersebut telah dapat dikawal sepenuhnya oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat, HAZMAT dan Bomba Sukarela Kualiti Alam sekitar jam 8.20 malam.


  1. Pihak Kualiti Alam Sdn. Bhd terus bekerjasama dengan Jabatan Bomba Dan Penyelamat bagi menjalankan siasatan terperinci untuk mengetahui punca kebakaran yang berlaku pada 13 April 2024 tersebut. Sehingga hari ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat masih belum kemuka Laporan Penyiasatan Kebakaran yang menyatakan punca berlakunya kebakaran. Namun, Surat Penamatan dan Penyerahan Mengambil Milik Premis telah diterima oleh Kualiti Alam Sdn. Bhd. pada 6 Mei 2024 untuk kerja pembersihan tapak. Penilaian tapak telah dilaksanakan dan kerja pembersihan dijangka akan bermula (setelah kerja meroboh struktur penstoran selesai) pada Ogos 2024 sehingga September 2024.


  1. Dari segi kesesuaian tapak, premis ini terletak di dalam kawasan industri berat Sendayan Techvalley dan mempunyai zon penampan (Buffer Zone) yang mencukupi dengan penerima sensitif. KASB telah wujud sejak tahun 1995 dan pembangunan guna tanah sekeliling terutama pembangunan perumahan dibina semakin menghampiri kawasan zon penampan dan kawasan KASB. KASB merupakan salah satu fasiliti utama dalam negara yang dilengkapi dengan Loji Rawatan Fizikal dan Kimia, Loji Stabilisasi, Loji Penunuan (Insinerator), Loji Rawatan Leachate, loji-loji rawatan sokongan dan Tapak Pelupusan Selamat untuk buangan terjadual yang telah dirawat. Sebarang pemindahan fasiliti berskala sebegini akan melibatkan kos yang sangat tinggi selain mungkin memberi impak serius kepada pengurusan sisa berbahaya negara.


  1. Memandangkan isu perpindahan melibatkan pelbagai pihak, Kementerian telah mengemukakan surat kepada SUK Negeri Sembilan dan Khazanah Nasional Berhad pada 13 jun 2024 agar kedua-dua pihak dapat membincangkan perkara ini dengan lebih mendalam.


Sekian, terima kasih.



Attachments