Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 3 | Sesi | Mesyuarat Kedua | Tarikh Persidangan | 02 July 2024 | Tahun Persidangan | 2024 | Kategori | Alam Sekitar | Nombor Soalan | 92 | Soalan | Puan Young Syefura binti Othman [ Bentong ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah ada cadangan untuk memperkasakan jentera penguatkuasaan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi memastikan tindakan tegas kepada pesalah alam sekitar dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil beberapa langkah penting bagi memperkasakan jentera penguatkuasaan melalui pengukuhan aspek 4M iaitu "Man, Material, Method, Machine," seperti berikut:
Pemantapan Pengurusan Sumber ManusiaPertambahan Perjawatan
NRES sedang meneliti keperluan pertambahan perjawatan bagi memastikan nisbah pegawai penguatkuasa di JAS dan bilangan industri di seluruh negara dapat diseimbangkan. Perkara ini adalah bagi memastikan pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan dapat dilakukan dengan lebih kerap dan meluas.Latihan dan Pembangunan Kepakaran
JAS sentiasa komited dalam memastikan semua pegawai mempunyai kepakaran dan kemahiran dalam mengendalikan teknologi terkini melalui pelaksanaan program latihan secara berkala dan kursus kompetensi kepada para pegawai. Kursus ini dapat meningkatkan kecekapan dan kemahiran pegawai penguatkuasaan dalam menjalankan tugas mereka dengan lebih efektif.Peralatan pengoperasian yang optimum
Menyediakan sumber bekalan dan logistik yang mencukupi untuk operasi penguatkuasaan di lapangan, seperti kenderaan dan bekalan keselamatan bagi memastikan kelancaran operasi penguatkuasaan.Pengoperasian penguatkuasaan secara bersepadu
Mempertingkatkan keberkesanan penguatkuasaan melalui kaedah pengoperasian penguatkuasaan secara bersepadu bersama agensi penguatkuasa yang lain seperti Jabatan Perhutanan, Jabatan Mineral dan Geosains dan Pihak Berkuasa Tempatan ke atas premis-premis yang tertakluk di bawah Akta 127 ini secara berkala.Penggunaan Teknologi CanggihMengintegrasikan penggunaan teknologi seperti dron, satelit, dan sistem pemantauan dalam talian untuk memantau kawasan-kawasan yang sukar diakses dan mengesan kejadian pencemaran dengan lebih cepat dan berkesan. Berhubung perkara ini, JAS telah melaksanakan Program Pengawasan Kualiti Alam Sekitar atau EQMP yang merangkumi pengumpulan data bagi pemantauan kualiti udara, kualiti air sungai dan kualiti air marin di seluruh Malaysia bagi tujuan melaporkan tahap sebenar kualiti alam sekitar negara dalam usaha untuk memantau, mencegah dan mengawal pencemaran.
Dengan pengukuhan aspek 4M ini, NRES melalui JAS menunjukkan komitmen dan keseriusan mereka dalam memastikan undang-undang alam sekitar dikuatkuasakan dengan berkesan. Usaha ini bukan sahaja untuk melindungi alam sekitar tetapi juga untuk memastikan kesejahteraan dan kesihatan masyarakat terjamin. Melalui kerjasama dengan semua pihak berkepentingan dan penggunaan teknologi terkini, NRES terus berusaha memperkasakan penguatkuasaan alam sekitar demi masa depan yang lebih lestari.
Sekian, terima kasih.
| Attachments |
|
|