Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

02 July 2024

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Perubahan Iklim

Nombor Soalan

99

Soalan

Tuan Mordi Bimol [ Mas Gading ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah pendirian dan perkembangan terkini Kerajaan di dalam usaha untuk menjadikan perdagangan karbon sebagai salah satu dasar negara.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


1. Kerajaan berpandangan bahawa hasil transaksi kredit karbon berpotensi menjana pendapatan sampingan dan menarik pelaburan daripada dalam dan luar negara. Tanpa hasil penjualan kredit karbon ini, projek yang berpotensi untuk mengurangkan pelepasan GHG dalam skala yang besar atau projek karbon yang menggunakan teknologi terkini yang mahal akan menjadi tidak berdaya maju. Oleh yang demikian, mekanisme pasaran karbon boleh dilihat sebagai salah satu instrumen kewangan tambahan yang dapat membiayai projek-projek karbon di dalam negara.


2. Mesyuarat MTPIN pada 31 Oktober 2023 telah bersetuju agar Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRES) ketika itu berperanan sebagai pihak berkuasa kebangsaan (national authority) yang akan membangunkan aturan kebangsaan (national arrangement) bagi pelaksanaan mekanisme pasaran karbon di Malaysia selaras dengan keputusan United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCCC). Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Februari 2024 juga telah bersetuju dengan keputusan MTPIN tersebut.


3. Oleh yang demikian, NRES sedang membangunkan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK) bagi melaksanakan keputusan Kerajaan tersebut. Selain aspek pelaburan, DPKK juga dirangka bagi memastikan perdagangan karbon ke luar negara dapat dibuat mengikut panduan yang ditetapkan oleh UNFCCC dan NRES tanpa menjejaskan pencapaian NDC. Selain itu, DPKK juga akan melihat kaedah offset sebagai salah satu pilihan pengurangan GHG untuk sektor yang sukar mengurangkan pelepasan GHG (hard to abate sectors) seperti sektor besi dan keluli.


4. Pembangunan DPKK juga adalah penting bagi menangani keperluan mendesak daripada pemain industri dan kerajaan negeri yang ingin menyertai pasaran karbon di dalam dan luar negara. Selain itu, DPKK akan memudahcara proses pelaksanaan projek karbon oleh pelabur asing melalui kerjasama dengan Malaysia. 


5. DPKK akan melengkapi pembangunan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) yang akan menjadi instrumen utama agar pasaran karbon negara dapat beroperasi dengan efektif. DPKK dijangka akan dimuktamadkan pada tahun 2025.


Sekian, terima kasih.



Attachments