Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bertanggungjawab dalam memastikan sebarang pembangunan infrastruktur dan projek mega yang memberi impak yang besar kepada alam sekitar diteliti terlebih dahulu, bagi memastikan pertimbangan sewajarnya dapat dibuat sebelum projek berkaitan diluluskan.
Dalam usaha memastikan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kesejahteraan alam sekitar dapat dipertingkatkan, Kementerian telah melaksanakan beberapa pendekatan, di antaranya adalah penguatkuasaan undang-undang berkaitan Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekitar (Laporan EIA) bagi semua projek pembangunan mega yang ditakrifkan sebagai prescribed activities di bawah Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015, serta pelaksanaan kaedah perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE), secara in-situ leaching (ISL) seperti yang ditetapkan di bawah Prosedur Operasi Standard (SOP) Perlombongan NR-REE. Kaedah ISL ini merupakan kaedah perlombongan yang lebih selamat dan mesra alam, tanpa melibatkan penebangan hutan dalam skala yang besar dan pengorekan keluar tanah beban dan tanah berbijih seperti mana kaedah perlombongan konvensional.
3. Berdasarkan rekod Jabatan Alam Sekitar (JAS), sebanyak 523 Laporan EIA telah diterima dan sejumlah 292 laporan telah diluluskan secara bersyarat pada tahun 2022. Ini adalah merangkumi pembangunan infrastruktur utama yang akan membawa pulangan ekonomi yang besar kepada negara seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Mass Rapid Transit (MRT), Rapid Transit System Link (RTS Link), Light Rail Transit (LRT), Kuala Lumpur-Singapore High Speed Rail (HSR) dan Bayan Lepas Light Rail Transit (BLLRT).
4. Bagi memastikan kesejahteraan alam sekitar tidak terjejas akibat aktiviti-aktiviti pembangunan, Kerajaan telah dan akan terus menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan. Jabatan Alam Sekitar (JAS) selaku pihak bertanggungjawab dalam penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 telah melaksanakan 2,486 pemeriksaan penguatkuasaan, di mana sejumlah 643 tindakan penguatkuasaan telah diambil, merangkumi 364 Notis Arahan, 222 kompaun, 6 Perintah Larangan dan 51 kes ketidakpatuhan telah dituduh serta disabit di mahkamah dengan jumlah denda dikenakan sebanyak RM1,331,500.00 pada tahun 2022.
5. Dalam masa yang sama, bagi memastikan kualiti alam sekitar, terutamanya kualiti air tidak terjejas berikutan aktiviti ekonomi melibatkan perlombongan NR-REE, Kementerian melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) menjalankan kawalan ketat ke atas had pelepasan efluen dibenarkan, serta pemantauan kualiti air permukaan dan air bawah tanah, selaras dengan undang-undang yang berkuatkuasa, iaitu Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Efluen) 2016.
Sekian, terima kasih.