Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 3 | Sesi | Mesyuarat Kedua | Tarikh Persidangan | 09 July 2024 | Tahun Persidangan | 2024 | Kategori | Perhutanan, Biodiversiti | Nombor Soalan | 6 | Soalan | Dato' Dr. Haji Alias bin Razak [ Kuala Nerus ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan : (a) jumlah insentif kewangan bagi konservasi, biodiversiti dan hutan melalui Dasar Ecological Fiscal Transfer (EFT) yang diagihkan mengikut negeri di Malaysia dari tahun 2013 hingga 2023; dan (b) perancangan Kementerian untuk mewujudkan lebih banyak inisiatif sokongan kepada Kerajaan Negeri bagi meningkatkan usaha-usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menyediakan insentif kewangan bagi konservasi biodiversiti dan hutan (Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation - EFT) yang dilaksanakan sejak tahun 2019. Insentif ini diberi kepada Kerajaan-kerajaan Negeri yang mengambil usaha melindungi kawasan hutan tadahan air dan kawasan perlindungan sedia ada serta menambah kawasan perlindungan dan Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang baharu. Bagi tempoh 2019 hingga 2024, peruntukan bagi insentif kewangan EFT adalah berjumlah RM550 juta. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM466,967,933 telah diagihkan kepada Kerajaan-kerajaan Negeri di Semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, selain daripada insentif kewangan EFT, Kementerian juga telah memperkenalkan Kerangka Kewangan REDD Plus (REDD Plus Finance Framework – RFF) bagi meningkatkan kerjasama antara pihak swasta dan kerajaan negeri dalam menyalurkan dana kepada aktiviti pemeliharaan dan pengurusan hutan. Pelaksanaan mekanisme REDD Plus akan menjadi imbuhan kewangan (incentive) tambahan kepada Kerajaan Negeri bagi memelihara, melindungi serta mengurus sumber hutan secara berkekalan.
Inisiatif kewangan RFF ini dilaksanakan oleh Malaysia Forest Fund (MFF), iaitu sebuah Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG) yang ditubuhkan dengan kerjasama Kementerian ini dengan Kementerian Kewangan (MOF). MFF berperanan untuk membangun dan melaksana model operasi RFF yang efektif dan mampan, serta menjana sumber kewangan melalui dua (2) cadangan instrumen, iaitu Sijil Konservasi Hutan (Forest Conservation Certificate - FCC) dan Offset Karbon Hutan (Forest Carbon Offset - FCO).
Kerajaan telah melancarkan instrumen FCC semasa penganjuran Global Forum on Islamic Finance and Economics (GFIEF) oleh Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia pada bulan Mei yang lalu. Instrumen FCC merupakan instrumen bukan berasaskan pasaran yang bertujuan untuk membolehkan penyertaan pihak swasta bagi membiayai dan menyumbang ke arah usaha konservasi dan pengurusan hutan. Dalam hubungan ini, pihak Kerajaan Negeri boleh menghubungi pihak MFF mengenai proses permohonan cadangan projek yang boleh dipertimbangkan untuk dibiayai oleh pihak swasta di bawah instrumen tersebut.
Sekian, terima kasih.
| Attachments |
|
|