Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

09 July 2024

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Mineral, Geosains

Nombor Soalan

11

Soalan

Datuk Larry Soon @ Larry Sng Wei Shien [ Julau ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah yang dijangka akan dibuat oleh Kementerian berkenaan dengan kajian hasil nadir bumi (Rare Earth Elements-REE) yang telah dilombong keluar tetapi tidak dibenarkan untuk dieksport ke luar negara.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Kementerian telah melaksanakan moratorium terhadap aktiviti pengeksportan bahan mentah unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) bermula daripada 1 Januari 2024 dan akan disemak setiap enam (6) bulan susulan daripada keputusan Jemaah Menteri semasa Mesyuarat Jemaah Menteri pada 27 Oktober 2023. Pada ketika ini, dasar moratorium ini masih berkuat kuasa dan akan disemak secara berkala setiap 6 bulan.


  1. Dasar moratorium pengeksportan ini bertujuan memperkasa industri NR-REE khususnya aktiviti pemprosesan sumber di peringkat pertengahan dan aktiviti pembuatan di peringkat hiliran. Selain itu, pelaksanaan dasar ini menggalakkan eksport sumber NR-REE secara produk separa siap atau produk siap yang lebih bernilai tinggi.


  1. Memandangkan industri NR-REE merupakan industri yang masih baru bertapak di Malaysia, Kementerian dengan kerjasama Akademi Sains Malaysia (ASM) sebagai rakan strategik telah membangunkan dokumen Kajian Model Perniagaan (Business Model) Pembangunan Industri NR-REE. Kajian ini dibangunkan secara komprehensif meliputi pelbagai aspek termasuk isu, cabaran, jurang, strategi dan sasaran dalam usaha membangunkan industri NR-REE negara di setiap peringkat rantaian nilai iaitu huluan, pertengahan dan hiliran.


  1. Pada masa ini, tiada kajian secara khusus dijalankan bagi mengkaji hasil NR-REE yang tidak dibenarkan eksport. Namun demikian, Kementerian sedang membangunkan enam (6) pilihan model perniagaan yang akan diperhalusi dengan lebih lanjut bagi mewujudkan pilihan model perniagaan terbaik untuk membangunkan industri NR-REE khususnya di peringkat pertengahan.


  1. Seterusnya, Kementerian dijadualkan untuk untuk membentangkan kertas dasar Hala Tuju Industri NR-REE dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dijangka akan berlangsung pada Ogos 2024. Melalui mesyuarat ini, Kementerian akan memperhalusi hala tuju pembangunan industri NR-REE termasuk langkah yang akan diambil untuk mengurus sumber NR-REE yang tidak dibenarkan eksport.


  1. Saya telah melakukan sesi lawatan kerja ke Tapak Projek Perintis Perlombongan NR-REE di Mukim Kenering, pada 31 Mei 2024 baru-baru ini. Sesi lawatan kerja ini bertujuan memberi pendedahan menyeluruh terhadap pelaksanaan projek perlombongan NR-REE pertama di Malaysia yang telah mematuhi semua SOP yang ditetapkan. Selain itu, sesi ini turut membincangkan hala tuju pembangunan industri NR-REE di peringkat pertengahan dan hiliran pada masa akan datang.


Sekian, terima kasih.



Attachments