Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

09 July 2024

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Perhutanan, Biodiversiti

Nombor Soalan

23

Soalan

Tuan Manndzri bin Nasib [ Tenggara ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan adakah terdapat sebarang Prosedur Operasi Standart (SOP) yang dikeluarkan oleh Kementerian melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) sekiranya berlaku sebarang kecemasan berkaitan dengan ancaman haiwan liar seperti gajah yang berkeliaran dan melibatkan keselamatan orang awam berlaku.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia memandang serius ancaman hidupan liar seperti gajah yang menjejaskan keselamatan orang awam.


2. Bagi tujuan ini, Jabatan PERHILITAN telah mewujudkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pengurusan Konflik Hidupan Liar yang merangkumi prosedur untuk menangani isu gangguan hidupan liar seperti gajah, harimau, babi hutan dan primat. SOP ini digunakan oleh semua barisan petugas hadapan Jabatan PERHILITAN di Unit Konflik Hidupan Liar, Pejabat PERHILITAN Negeri dan Pejabat PERHILITAN Daerah di seluruh Semenanjung Malaysia serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan. 


3. Pada masa yang sama, Jabatan PERHILITAN turut memberikan khidmat nasihat bagi mengelakkan ancaman hidupan liar seperti berikut:


(i) memastikan keadaan sekeliling selamat sebelum memulakan aktiviti di kawasan yang berdekatan dengan habitat hidupan liar seperti tidak terdapat kesan tapak atau najis hidupan liar yang baharu; 


(ii) mengelakkan daripada membuat provokasi atau cubaan mengganggu seperti menghalau, menjerit dan membaling objek sekiranya bertembung dengan hidupan liar; 

(iii) mencari perlindungan di sebalik pokok yang besar dan berbanir apabila terserempak dengan gajah dan segera melarikan diri sekiranya keadaan telah selamat; dan


(iv) berdiam diri serta tidak melakukan pergerakan secara mengejut, berundur diri secara perlahan untuk menjauhi lokasi sekiranya bertembung dengan hidupan liar.


4. Selain itu, orang awam hendaklah memperlahankan kenderaan apabila terdapat papan tanda kawasan lintasan hidupan liar terutamanya di kawasan berhampiran Hutan Simpanan Kekal atau Kawasan Perlindungan dan segera menghubungi Jabatan PERHILITAN sekiranya berhadapan dengan risiko ancaman hidupan liar.


Sekian, terima kasih.



Attachments