Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 3 | Sesi | Mesyuarat Kedua | Tarikh Persidangan | 09 July 2024 | Tahun Persidangan | 2024 | Kategori | Mineral, Geosains | Nombor Soalan | 93 | Soalan | Puan Syerleena binti Abdul Rashid [ Bukit Bendera ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah usaha Kementerian bagi memastikan perlombongan nadir bumi tidak memberi kesan terhadap kelestarian alam sekitar.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Yang Berhormat, sumber unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Malaysia diperolehi daripada lempung jerapan ion yang tertabur secara meluas terutama di kawasan batuan granitik terluluhawa di Malaysia.
Bagi memastikan aktiviti perlombongan sumber unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) dijalankan secara teratur, Kementerian telah membangunkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengawal selia aktiviti perlombongan NR-REE. SOP ini menyediakan panduan lengkap bagi aktiviti di peringkat pra-perlombongan, semasa perlombongan dan pasca-perlombongan secara teratur.
SOP ini dibangunkan berdasarkan SOP perlombongan NR-REE di Negeri Perak yang telah diguna pakai untuk pembangunan Projek Perintis Perlombongan NR-REE di Mukim Kenering, Daerah Hulu Perak. Berdasarkan kepada pengauditan yang dijalankan di Projek Perintis, ianya boleh disimpulkan bahawa SOP ini mampu dijadikan panduan bagi mengawal selia aktiviti perlombongan.
Seterusnya, Kementerian telah menetapkan bahawa kaedah perlombongan secara in-situ leaching (ISL) digunakan bagi mengekstrak sumber NR-REE. Kaedah ini lebih selamat dan mesra alam jika dibandingkan dengan kaedah perlombongan terbuka yang lazim digunakan. Kaedah ISL dapat meminimumkan impak terhadap permukaan bumi, kadar pelepasan gas rumah hijau, serta gangguan habuk dan bunyi. Namun, ianya tertakluk kepada syarat pengoperasian serta kawal selia air permukaan dan bawah tanah yang mampan sebagaimana yang disyaratkan dalam kelulusan Skim Pengendalian Melombong (Operational Mining Scheme – OMS) dan Kelulusan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (Environmental Impact Assessment – EIA).
Bagi memastikan aktiviti perlombongan tidak memberikan impak kepada alam sekitar dan kacau ganggu kepada penduduk setempat, pemantauan dan kawalan secara berterusan akan dilaksanakan melalui pelbagai mekanisma termasuklah pemantauan kualiti efluen / air di bawah Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Efluen) 2016, Pelan Pengurusan Alam Sekitar di bawah Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan juga Pelan Pemulihan Lombong. Penekanan terhadap kawalan alam sekitar ini telah dinyatakan dengan jelas dalam SOP perlombongan NR-REE.
Sekian, terima kasih.
| Attachments |
|
|