Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

09 July 2024

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Mineral, Geosains

Nombor Soalan

96

Soalan

Dato' Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff [ Rantau Panjang ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan usaha untuk memajukan industri NR-REE serta cabaran yang dihadapi masa kini.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


(a)              Usaha untuk memajukan industri NR-REE​

  1. Menyedari potensi NR-REE untuk dibangunkan sebagai salah satu mineral strategik negara, Kementerian telah mengambil beberapa inisiatif dalam membangun dan memajukan industri NR-REE. Untuk tujuan ini, Kementerian telah bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Perak untuk membangunkan Projek Perintis Perlombongan NR-REE di Mukim Kenering, Daerah Hulu Perak, Perak.  Pelaksanaan Projek Perintis ini telah bermula pada Oktober 2022 dengan menggunakan kaedah perlombongan secara in-situ leaching yang lebih selamat dan mesra alam.


  1. Seterusnya, Kementerian telah membangunkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perlombongan NR-REE di Malaysia berdasarkan kepada SOP Perlombongan NR-REE di Negeri Perak. SOP Perlombongan NR-REE di Malaysia telah diedar ke semua negeri sebagai rujukan dan panduan kepada negeri-negeri untuk menjalankan perlombongan NR-REE. Namun begitu, pemakaian SOP ini adalah tertakluk kepada kelulusan dan penyelarasan Pihak-pihak Berkuasa Negeri.


  1. Bagi memastikan sumber NR-REE diproses dalam negara yang bertujuan memberi nilai tambah dan membawa impak yang signifikan kepada ekonomi negara, Kementerian telah menetapkan moratorium pengeksportan mentah NR-REE di seluruh negara mulai 1 Januari 2024. Ketetapan moratorium ini berasaskan kepada keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 27 Oktober 2023.


  1. Selain itu, bagi merealisasi potensi nilai ekonomi mineral NR-REE ini, pembangunan industri ini perlu dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi peringkat huluan, pertengahan dan hiliran selaras dengan pernyataan kerangka Dasar Mineral Negara 3. Sehubungan itu, Kementerian telah mengambil inisiatif untuk melantik Akademi Sains Malaysia (ASM) sebagai rakan strategik untuk melaksanakan kajian model perniagaan yang komprehensif bagi pembangunan industri NR-REE di Malaysia. Dokumen kajian ini dibangunkan sebagai rujukan kepada pihak berkepentingan khususnya Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan penggiat industri yang berminat untuk membangunkan industri ini.


(b)               Cabaran Yang Dihadapi Masa Kini


  1. Bagi memastikan industri NR-REE dapat dibangunkan di setiap peringkat rantaian nilai khususnya di peringkat huluan dan pertengahan, terdapat keperluan untuk mengukuhkan sektor huluan yang secara langsung akan mewujudkan sektor pertengahan dan hiliran yang berdaya saing. Pada masa ini, terdapat kekangan dalam memajukan aktiviti perlombongan iaitu negara tidak memiliki keupayaan tempatan dari segi kepakaran dan teknologi untuk mengusaha hasilkan lombong NR-REE.


  1. Seterusnya, Malaysia diyakini mempunyai potensi besar untuk terlibat secara langsung dalam industri di peringkat hiliran sebagai salah satu negara pengeluar super magnet dan motor elektrik di dunia bagi menyokong perkembangan industri pembuatan kenderaan elektrik. Namun demikian, ia hanya boleh direalisasikan dengan adanya industri pertengahan tempatan bagi memproses sumber RE Carbonate yang dihasilkan oleh loji pemprosesan NR-REE tempatan.  

 

Sekian, terima kasih.



Attachments