Tuan Yang di-Pertua,
1. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia sentiasa mengambil perhatian serius terhadap konflik manusia dan hidupan liar termasuk gangguan gajah liar di sepanjang Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Jeti Awam Pulau Banding, Perak dan kawasan perkampungan yang berdekatan.
2. Antara langkah jangka pendek yang diambil oleh Jabatan PERHILITAN bagi menangani konflik manusia dan gajah di kawasan tersebut adalah seperti berikut:
(i) membina 4 unit Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) kekal di Kg. Bukit Sapi - Kg. Batu Reng, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Air Banun, Bersia, dan Pos Kemar;
(ii) melaksanakan 89 kawalan rondaan serta pemantauan di kawasan konflik hidupan liar apabila menerima aduan daripada penduduk setempat bagi tahun 2022 hingga Jun 2024;
(iii) melaksanakan 53 tindakan tembak halau bagi menghalau gajah untuk masuk semula ke kawasan hutan berdekatan bagi tahun 2022 hingga Jun 2024;
(iv) melaksanakan aktiviti pengayaan habitat dengan mewujudkan 2 jenut tiruan di bawah viaduct Koridor Ekologi Central Forest Spine (CFS) bagi menarik hidupan liar terutamanya gajah supaya tidak melintas di atas jalan raya;
(v) memasang 144 tiang lampu jenis LED di 17 lokasi hotspot kawasan lintasan gajah bagi menghalau gajah memasuki kawasan kampung;
(vi) memasang 12 unit papan tanda lintasan gajah di JRTB termasuk 2 billboard besar; dan
(vii) membuat hebahan melalui kenyataan media, video pendek dan poster lintasan gajah semasa musim perayaan bagi meningkatkan kesedaran pengguna JRTB mengenai langkah-langkah keselamatan sekiranya berlaku pertembungan dengan gajah.
3. Selain itu, sebagai langkah jangka panjang, Jabatan PERHILITAN membangunkan Pelan Tindakan Konservasi Gajah Kebangsaan (2023-2030) (NECAP 2.0) sebagai panduan dalam melaksanakan pengurusan gajah dengan lebih menyeluruh. Ini termasuklah mengadakan perbincangan bersama pemegang taruh bagi meningkatkan keberkesanan pelaksanaan tindakan-tindakan yang digariskan dalam NECAP 2.0 dan Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (PIRECFS) yang dibangunkan oleh pihak Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PlanMalaysia) dalam menangani masalah konflik manusia dan hidupan liar.
Sekian, terima kasih.