Tuan Yang di-Pertua,
1. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedang melaksanakan Kajian Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK) secara berperingkat. Dasar ini bertujuan untuk menyokong pelaksanaan mekanisme pasaran karbon pematuhan dan sukarela di Malaysia bagi memudah cara pelaksanaan projek karbon oleh pelabur. Selain itu, DPKK juga dirangka untuk memudahkan pemegang taruh berkaitan seperti kerajaan negeri dan pihak swasta agar industri perdagangan karbon tempatan dapat berkembang.
2. Kementerian ini akan melaksanakan beberapa sesi libat urus bersama Kerajaan Negeri dan agensi yang terlibat bagi menyelaras inisiatif dan membincangkan serta memperincikan perkara berkaitan DPKK. Sesi ini juga dilaksanakan bagi mendapatkan input dan memahami kepentingan dan keutamaan dari perspektif Kerajaan Negeri di dalam pembangunan DPKK.
3. Perkara ini adalah selaras dengan pendekatan whole of nation dalam membangunkan DPKK. Ini kerana pembangunannya melibatkan proses kumulatif seperti pengumpulan input dan analisis maklumat yang terkini di samping penganjuran sesi libat urus yang menyeluruh bagi memastikan setiap entiti yang bertanggungjawab dapat memainkan peranannya dalam memastikan isu perubahan iklim ditangani mengikut bidang kuasa masing-masing. Selain itu, proses ini juga penting agar isu-isu pelaksanaan dapat dikenal pasti di samping memelihara kepentingan pihak-pihak berkaitan.
4. Buat masa ini, pasaran karbon yang aktif di Malaysia adalah pasaran karbon sukarela. Pada tahun 2022, Bursa Malaysia telah menubuhkan Bursa Carbon Exchange (BCX) yang merupakan pelantar perdagangan pasaran karbon sukarela patuh syariah yang pertama di dunia. Oleh yang demikian, sebelum DPKK dimuktamadkan, Kerajaan Negeri yang berminat untuk menyertai pasaran karbon boleh menggunakan platform VCM khususnya BCX ini.
Sekian, terima kasih.