Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

15 July 2024

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Perubahan Iklim

Nombor Soalan

36

Soalan

Dato' Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man [ Kubang Kerian ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan langkah Kementerian untuk mendapatkan bantuan kewangan untuk menangani impak perubahan iklim (climate financing) daripada negara-negara maju serta menuntut mereka mempercepatkan pengurangan pelepasan gas rumah hijau.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, semasa Persidangan Parti Ke-15 (COP15) United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCCC) di Copenhagen pada tahun 2009, negara maju telah bersetuju dan komited untuk menggerakkan USD 100 bilion setahun menjelang 2020 untuk kegunaan negara-negara membangun, bagi melaksanakan tindakan dalam menangani agenda perubahan iklim.

2. Melalui laporan yang dikeluarkan oleh pihak Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) pada 29 Mei 2024 yang lalu, negara-negara maju telah menyumbang pembiayaan iklim sebanyak USD 115.9 bilion untuk negara membangun pada tahun 2022, melebihi matlamat tahunan USD100 bilion setahun.

3. Malaysia yang merupakan negara parti kepada konvensyen pelbagai hala berkaitan alam sekitar iaitu UNFCCC, United Nations Convention on Biological Diversity (UNCBD), dan United Nations Convention to Combat Desertification (UNCCD) adalah layak dipertimbangkan untuk menerima bantuan bawah dana antarabangsa hasil daripada sumbangan ini, antaranya Global Environment Facility (GEF) dan Green Climate Fund (GCF).

4. Sejak Malaysia menyertai GEF pada tahun 1994, sebanyak 21 buah projek di peringkat nasional telah dilaksanakan dengan jumlah pembiayaan sebanyak USD 76.951 juta. Selain itu, Malaysia juga turut terlibat dalam lima (5) buah projek serantau dengan pembiayaan berjumlah USD 30.35 juta.

5. Kini, GEF kitaran ke-8 telah bermula bagi tempoh empat (4) tahun bermula Julai 2022 hingga Jun 2026. Peruntukan indikatif yang telah ditetapkan untuk Malaysia adalah sebanyak USD 26.32 juta bagi bidang fokus perubahan iklim, biodiversiti dan kemerosotan tanah. Peruntukan yang diterima bagi GEF kitaran ke-8 telah meningkat sebanyak 25% berbanding GEF kitaran ke-7.

6. Selain itu, Malaysia sebagai negara parti kepada Perjanjian Paris turut layak untuk menerima pembiayaan di bawah Green Climate Fund (GCF) bagi melaksanakan tindakan mitigasi dan adaptasi perubahan iklim. Sehingga kini, Kementerian telah melaksanakan empat (4) projek GCF di peringkat nasional dengan jumlah pembiayaan USD 1.398 juta dan turut terlibat dalam satu (1) projek serantau dengan pembiayaan berjumlah USD 300 juta.

7. Selain itu, Kementerian telah mengemukakan permohonan dana kepada GCF bagi pembangunan Pelan Tindakan Adaptasi Kebangsaan (National Adaptation Plan - NAP). Kementerian turut sedang mengenalpasti projek-projek lain yang berpotensi supaya akses kepada dana GCF ini dapat diperluaskan dalam skala yang lebih besar.

8.      YAB Perdana Menteri semasa menyampaikan Kenyataan Negara di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di New York pada 22 September 2023, telah menggesa negara-negara maju untuk memenuhi komitmen untuk menyumbang AS$100 bilion setahun bagi menyokong usaha-usaha menangani perubahan iklim oleh negara-negara membangun.

9.       Semasa saya menyampaikan Kenyataan Negara di Persidangan Negara Ahli ke-28 UNFCCC pada 9 November 2023, Malaysia turut menyatakan pendirian yang yang sama dan telah memberikan penekanan agar pelaksanaan pengoperasian pembiayaan global bagi perubahan iklim perlu diuruskan secara telus dan semua negara layak mengakses dana tersebut secara sama rata. Malaysia juga bersedia untuk meningkatkan pelaksanaan tindakan iklim yang lebih bercita-cita tinggi sekiranya lebih banyak peluang pembiayaan, pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti disalurkan kepada Negara. 

Sekian, terima kasih.



Attachments