Tuan Yang di-Pertua,
1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, merujuk kepada Laporan Fourth National Communication (NC4) yang diterbitkan pada 2 Mei 2024, terdapat tren peningkatan suhu bagi Semenanjung Malaysia dalam tempoh 50 tahun yang lalu. Berdasarkan rekod dari tahun 1969-2019, purata suhu permukaan bagi Semenanjung Malaysia telah menunjukkan peningkatan sebanyak 0.24°C per dekad. Berdasarkan kepada rekod juga, purata suhu bulanan di Semenanjung Malaysia pada bulan Mei 2024 adalah 28.8°C manakala purata suhu bulanan pada bulan Mei 1974 iaitu 50 tahun yang lalu adalah 26.6°C.
2. Peningkatan suhu ini adalah dipengaruhi oleh pelbagai faktor iaitu faktor semulajadi dan kesan daripada aktiviti manusia. Faktor semulajadi adalah seperti perubahan iklim global dan perubahan pola cuaca. Peningkatan pelepasan gas rumah kaca di atmosfera secara global menyebabkan perubahan iklim yang memberi kesan terhadap peningkatan suhu global dan impaknya dapat juga dirasakan di Semenanjung Malaysia.
3. Manakala, perubahan pola cuaca seperti perubahan hujan dan musim pula boleh mempengaruhi suhu tempatan. Selain daripada itu, aktiviti manusia seperti penebangan hutan, aktiviti pertanian dan pembangunan infrastruktur turut menyebabkan hilangnya kesan penyejukan semulajadi, mengubah aliran air semulajadi dan iklim tempatan yang turut menyumbang kepada peningkatan suhu.
Sekian, terima kasih.