Tuan Yang di-Pertua,
1. Kerajaan Malaysia dalam melaksanakan pengurusan buangan terjadual negara telah memperkenalkan konsep Cradle to Grave dan Cradle to Cradle. Selari dengan pembangunan fasiliti negara di dalam pelupusan buangan terjadual, sehingga kini terdapat tiga (3) fasiliti utama untuk merawat dan melupuskan buangan terjadual. Satu (1) kemudahan Integrated Scheduled Waste Management Facilities (ISWMF) di Sarawak iaitu Trienekens (Sarawak) Sdn. Bhd manakala dua (2) kemudahan Integrated Scheduled Waste Management Facilities (ISWMF) di Semenanjung Malaysia iaitu Kualiti Alam Sdn. Bhd dan paling terkini adalah J&T Berjaya Alam Murni Sdn Bhd. Tiga (3) lagi cadangan fasiliti Integrated Scheduled Waste Management Facilities (ISWMF) adalah dicadangkan di zon selatan (Johor), zon Pantai timur (Terengganu) dan termasuk zon utara (Perak) yang kini masih dalam proses perancangan.
2. Selaras dengan usaha menyokong ekonomi kitaran kearah pengurusan buangan terjadual yang lebih lestari, terdapat sebanyak 120 buah fasiliti bagi memproses e-waste di seluruh negara. Kementerian melalui Jabatan Alam Sekitar juga giat dalam usaha untuk menggalakkan pengurangan penjanaan buangan terjadual yang perlu dilupuskan, melalui proses guna semula dan peningkatan pemerolehan kembali buangan terjadual.
3. Dijangka dengan fasiliti sedia ada dan usaha Kementerian untuk mengurangkan janaan bahan berbahaya, fasiliti sedia ada masih dapat menampung keperluan industri E & E terutama di Wilayah utara semenanjung.
Sekian, terima kasih.