Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

18 July 2024

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Perhutanan, Biodiversiti

Nombor Soalan

38

Soalan

Tuan Zahari bin Kechik [ Jeli ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah tindakan yang telah diambil dan keberkesanan tindakan itu di dalam menangani serangan gajah liar terhadap kebun-kebun dan penduduk di dalam Parlimen Jeli.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia memandang serius isu konflik manusia dan hidupan liar termasuk serangan gajah liar di Daerah Jeli. Bagi tempoh 2018 hingga 2023, rekod Jabatan PERHILITAN menunjukkan terdapat sebanyak 689 aduan konflik manusia dan gajah di Daerah Jeli dengan anggaran kerugian sebanyak RM2.25 juta.


  1. Dalam hubungan ini, Jabatan PERHILITAN telah melaksanakan pelbagai tindakan termasuk usaha-usaha mitigasi di Daerah Jeli seperti berikut:


  1. memasang 2 unit Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) di Kg. Sungai Rual Asli - Kg. Pasir Dusun pada tahun 2009 dan Batu Melintang, Jeli pada tahun 2013 melibatkan jarak sepanjang 27 kilometer;


  1. menjalankan program pemantauan pergerakan kumpulan gajah melalui pemasangan kolar satelit kepada 4 ekor gajah yang berfungsi sebagai sistem amaran awal (early warning system) bagi mengesan pergerakan gajah ke kawasan pertanian dan penempatan penduduk;


  1. melaksanakan 847 aktiviti pemantauan dan kawalan apabila menerima aduan konflik daripada orang ramai;


  1. melaksanakan 45 operasi tangkapan gajah dan pemindahan gajah ke habitat yang lebih sesuai yang melibatkan kos operasi sebanyak RM60,000 bagi setiap tangkapan dan pemindahan;


  1. melaksanakan 21 program kesedaran awam dan libat urus dengan pemegang taruh yang terlibat termasuk masyarakat setempat dan pengusaha ladang; dan


  1. menjalankan aktiviti tembak halau bagi menakutkan gajah dan menghalau gajah kembali ke dalam hutan.

 

  1. Jabatan PERHILITAN sentiasa berusaha untuk meningkatkan keberkesanan dalam menangani serangan gajah liar. Ini termasuk melaksanakan tindakan-tindakan di bawah Pelan Tindakan Konservasi Gajah Kebangsaan (2023-2030) (NECAP 2.0);  menjalankan kajian potensi mewujudkan koridor gajah di Daerah Jeli dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF); dan melaksanakan kajian impak keberkesanan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.

 

Sekian, terima kasih.



Attachments