Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 3 | Sesi | Mesyuarat Kedua | Tarikh Persidangan | 18 August 2024 | Tahun Persidangan | 2024 | Kategori | Mineral, Geosains | Nombor Soalan | 42 | Soalan | Tuan Nurul Amin bin Hamid [ Padang Terap ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan status perangkaan Dasar Mineral Negara 3 (DMN 3) bagi mewujudkan satu dasar yang jelas dan komprehensif untuk memandu pembangunan industri mineral termasuklah NR-REE.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Dasar Mineral Negara 3 (DMN 3) dibangunkan untuk mewujudkan dasar yang komprehensif dalam menyokong merealisasi potensi nilai ekonomi mineral negara. Dasar ini dirangka untuk memandu pembangunan semua jenis mineral termasuk unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE).
DMN 3 dibangunkan berdasarkan lima (5) teras utama dan disokong oleh 26 strategi dan 77 inisiatif yang telah dikenal pasti untuk melaksanakan teras-teras tersebut. Dasar ini dibangunkan untuk tempoh sehingga tahun 2030 dan bertujuan menetapkan hala tuju baharu selaras dengan perkembangan semasa.
Kementerian telah mendapatkan input pemegang taruh semasa menyediakan kerangka DMN 3 melalui sesi libat urus pada 8 hingga 10 Ogos 2023. Sesi tersebut dihadiri wakil-wakil Jabatan/Agensi di peringkat Persekutuan dan Negeri, penggiat industri, ahli akademik, pakar-pakar, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Organisasi Masyarakat Sivil (CSO).
DMN 3 telah dibentangkan untuk persetujuan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Januari 2024 serta dalam mesyuarat Majlis Mineral Negara Ke-3 pada 2 Julai 2024 yang dihadiri oleh Menteri-Menteri Persekutuan, Menteri-Menteri Besar, Wakil-wakil Kerajaan Persekutuan dan Wakil-wakil Kerajaan Negeri.
Seterusnya, Kementerian sedang merangka Pelan Tindakan Dasar Mineral Negara 3 sebagai dokumen sokongan kepada DMN 3 bagi memastikan DMN 3 dapat mencapai objektif pewujudannya sebagai panduan pembangunan industri mineral.
Satu sesi libat urus bersama pemegang taruh akan diadakan dalam masa terdekat bagi mendapatkan input terhadap kerangka Pelan Tindakan DMN 3 tersebut. Seterusnya, Kementerian juga menjangkakan kerangka Pelan Tindakan ini akan dibentangkan untuk persetujuan Mesyuarat Jemaah Menteri pada tahun ini setelah semua proses konsultasi dilaksanakan.
Sekian, terima kasih.
| Attachments |
|
|