Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

18 July 2024

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Perubahan Iklim

Nombor Soalan

46

Soalan

Datuk Haji Ahmad Amzad bin Mohamed @ Hashim [ Kuala Terengganu ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan :


(a) adakah Kerajaan berhasrat untuk menubuhkan badan perundingan dan mekanisme yang bertujuan untuk menyeragamkan dasar Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam perdagangan karbon ; dan


(b) sejauh mana kerjasama antara Persekutuan dan Negeri dalam pelaksanaan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK) bagi memastikan mekanisme perdagangan karbon yang seimbang dan adil untuk kedua-dua pihak.



Jawapan



1. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedang melaksanakan Kajian Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK) secara berperingkat. Dasar ini bertujuan untuk menyokong pelaksanaan mekanisme pasaran karbon pematuhan dan sukarela di Malaysia bagi memudah cara pelaksanaan projek karbon oleh pelabur. Selain itu, DPKK juga dirangka untuk memudahkan pemegang taruh berkaitan seperti kerajaan negeri dan pihak swasta agar industri perdagangan karbon tempatan dapat berkembang.


2. Salah satu perkara yang terkandung dalam terma rujukan DPKK ini adalah mengenai keperluan mengkaji kerangka institusi yang berkesan bagi memastikan setiap entiti di dalam negara memainkan peranannya dalam pegoperasian pasaran karbon ini. 


3. Oleh yang demikian, Kementerian ini akan melaksanakan beberapa sesi libat urus bersama Kerajaan Negeri dan agensi yang terlibat bagi membincangkan dan memperincikan perkara berkaitan DPKK. Sesi ini juga dilaksanakan bagi mendapatkan input dan memahami kepentingan dan keutamaan dari perspektif Kerajaan Negeri di dalam pembangunan DPKK. 






1. Kementerian juga mengambil maklum akan dasar dan insiatif dalam menangani isu perubahan iklim khususnya yang dilaksanakan oleh pihak Kerajaan Negeri. Saya pasti, tindakan pengurangan atau penyerapan gas rumah kaca (Greenhouse Gas – GHG) yang dilaksanakan akan menyumbang secara langsung kepada pencapaian sasaran pengurangan GHG negara dan turut mencerminkan komitmen negara dalam menyumbang kepada tindakan perubahan iklim di peringkat global. 


2. Dalam hal ini, Kerajaan Persekutuan menghormati hak Kerajaan Negeri bagi perkara berkaitan sumber asli dan hasil negeri. Oleh yang demikian, NRES turut berhasrat agar Kerajaan Negeri dapat bersama mengambil bahagian dalam perbincangan dan pembangunan DPKK ini bagi memastikan kepentingan Kerajaan Negeri turut terpelihara. 



Sekian, terima kasih.



Attachments