Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

18 July 2024

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Perubahan Iklim

Nombor Soalan

49

Soalan

Dato' Ngeh Koo Ham [ Beruas ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan mengapa suhu di banyak tempat di Semenanjung Malaysia masih tinggi sungguhpun pada waktu malam.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

 

  1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, berdasarkan Laporan Kumpulan Kerja Pertama Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) yang telah diumumkan pada 9 Ogos 2021 lalu, suhu purata dunia dianggarkan telah meningkat kepada 1.1° Celsius. Merujuk kepada Laporan Fourth National Communication (NC4) yang diterbitkan pada 2 Mei 2024, berdasarkan rekod dari tahun 1969-2019, suhu maksimum permukaan bagi Semenanjung Malaysia telah menunjukkan peningkatan sebanyak 0.24 darjah Celsius per dekad dan suhu minima permukaan bagi Semenanjung Malaysia telah menunjukkan peningkatan sebanyak 0.27° Celsius per dekad sejak 50 tahun yang lepas.


  1. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) telah membina sebanyak 433 buah stesen pencerapan permukaan di seluruh negara untuk mencerap data-data cuaca seperti hujan, angin, suhu, kadar kelembapan dan tekanan udara. Untuk pemantauan suhu, MET Malaysia mencerap nilai suhu maksimum yang biasanya berlaku pada waktu siang manakala nilai suhu minimum dicerap pada waktu malam. Berdasarkan rekod suhu yang dicerap oleh MET Malaysia, purata suhu minimum di Semenanjung Malaysia pada tahun 2023 telah menunjukkan peningkatan apabila dibandingkan dengan purata suhu minimum yang dicerap dalam tempoh lima tahun yang lepas.


  1. Peningkatan suhu yang berlaku pada waktu malam adalah disebabkan oleh beberapa faktor diantaranya ialah faktor kejadian fenomena El-Nino dan aktiviti manusia. Faktor kejadian fenomena El-Nino yang bermula pada awal tahun 2023 telah menyebabkan beberapa kawasan di negara kita mengalami gelombang haba iaitu apabila suhu harian tertinggi adalah melebihi 37° Celcius untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut. Semasa El-Nino, suhu pada waktu malam juga didapati tinggi dan menyebabkan terasa lebih panas daripada hari biasa. Dengan fenomena El-Nino yang sudah melemah dan neutral pada pertengahan tahun 2024, kejadian gelombang haba di negara kita akan menjadi semakin berkurangan.


  1. Faktor aktiviti manusia seperti pembangunan infrastruktur pula telah mengubah permukaan bumi daripada suatu kawasan yang asalnya mempunyai tumbuhan semula jadi kepada kawasan yang dilitupi bangunan serta permukaan berturap. Peningkatan kadar guna tanah sama ada untuk pembangunan, pertanian ataupun penempatan telah menyebabkan berkurangnya kawasan hijau semulajadi yang sepatutnya berfungsi untuk menyerap karbon dioksida daripada atmosfera dan menyejukkan kawasan sekitar.


  1. Perubahan persekitaran fizikal permukaan terutamanya di bandar juga telah menyebabkan berlakunya penyimpanan haba yang banyak di permukaan bumi ketika waktu siang yang mempunyai sinaran matahari yang kuat dan haba ini terperangkap ke ruang atmosfera pada waktu malam. Fenomena ini dikenali sebagai Pulau Haba Bandar (Urban Heat Island).


  1. Di samping itu juga, peningkatan aktiviti-aktiviti manusia seperti pembakaran terbuka serta pembakaran bahan-bahan api untuk kenderaan dan sebagainya telah menghasilkan gas rumah hijau seperti karbon monoksida, karbon dioksida, sulfur dioksida dan nitrogen dioksida ke atmosfera. Gas-gas ini menyerap lebih banyak haba yang menyebabkan haba yang sepatutnya terbebas ke angkasa terperangkap di dalam atmosfera dan mengakibatkan peningkatan suhu walaupun pada waktu malam.


Sekian, terima kasih.



Attachments