Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

18 July 2024

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Perubahan Iklim

Nombor Soalan

62

Soalan

Dato' Ngeh Koo Ham [ Beruas ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan sama ada dalam 50 tahun ini perubahan iklim di Malaysia telah menjadi semakin buruk dan apakah tindakan-tindakan yang boleh diambil untuk memastikan kita di Malaysia boleh menikmati suasana iklim yang lebih baik.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Impak perubahan iklim di Malaysia sememangnya menjadi lebih ketara sejak 50 tahun yang lalu. Keadaan ini terbukti melalui cerapan data-data saintifik hidro-iklim termasuk trend peningkatan suhu, perubahan pola hujan dan kejadian cuaca ekstrem yang lebih kerap seperti banjir dan kemarau.

2. Berdasarkan kepada laporan Malaysia Fourth National Communication (NC4), sepanjang tempoh 50 tahun yang lalu, terdapat trend dalam peningkatan suhu. Trend peningkatan suhu tahunan purata bagi Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah dari 1969 hingga 2019 telah meningkat sebanyak 0.13 ⁰C kepada 0.24 ⁰C bagi setiap dekad. Suhu maksimum permukaan pula telah meningkat sebanyak 0.17 ⁰C kepada 0.23 ⁰C bagi setiap dekad manakala suhu minimum juga telah meningkat sebanyak 0.19 ⁰C kepada 0.30 ⁰C bagi setiap dekad.

3. Selain daripada itu, pemerhatian melalui perubahan dalam pola/trend hujan telah mendapati beberapa kawasan mengalami hujan yang lebih lebat dan ekstrem sehingga menyebabkan berlakunya episod banjir besar, banjir puing dan runtuhan tanah yang kerap, manakala dalam episod musim kering pula beberapa lokasi telah dilanda musim kemarau yang berpanjangan disebabkan oleh pengurangan jumlah hujan.

4. Semua kejadian ini adalah berpunca daripada kenaikan suhu purata global kepada 1.1 ⁰C berdasarkan laporan Sixth Assessment Report (AR6) of the United Nations (UN) yang dikeluarkan pada tahun 2021. Antara punca kenaikan suhu purata global adalah aktiviti antropogenik oleh manusia seperti penggunaan tenaga fosil untuk menjana elektrik serta aktiviti pengangkutan dan aktiviti perindustrian yang membebaskan gas karbon dioksida. Senario ini telah menjejaskan aktiviti pertanian, sumber dan bekalan air serta keseimbangan ekologi secara keseluruhannya.

4. Negara kita juga sedang menerima kesan pemanasan global menerusi fenomena slow on set kenaikan aras laut akibat pencairan ais di kawasan kutub dan pengembangan haba di lautan. Malaysia, dengan garis pantainya yang melebihi 8000 km, sangat terdedah kepada impak kenaikan aras laut seperti peningkatan kadar hakisan pantai dan penerobosan air masin ke dalam sumber air tawar serta akuifer yang telah menimbulkan kebimbangan serius kepada negara. Peningkatan suhu permukaan dan asidifikasi lautan juga berupaya mengancam kelestarian ekologi sumber marin negara susulan daripada risiko pelunturan terumbu karang serta migrasi spesies hidupan yang terjejas dengan perubahan persekitaran marin tersebut.

5. Untuk menangani keadaan iklim yang semakin merosot dan berusaha ke arah persekitaran yang lebih baik di Malaysia, beberapa tindakan boleh diambil seperti berikut:

i. Meningkatkan Penggunaan Tenaga Boleh Diperbaharui: Peralihan kepada sumber tenaga boleh diperbaharui seperti solar, angin dan biojisim boleh mengurangkan pelepasan gas rumah hijau. Malaysia mempunyai potensi besar untuk tenaga suria kerana lokasinya yang terletak di khatulistiwa.

ii. Melaksanakan amalan pertanian mampan yang boleh membantu mengurangkan kesan alam sekitar. Teknik seperti pertanian tepat, pertanian organik dan agro-perhutanan boleh meningkatkan daya tahan terhadap perubahan iklim.

iii. Beralih kepada Tenaga Hijau dan Boleh Diperbaharui Disamping Meningkatkan Kecekapan Tenaga. Negara kita perlu lebih dinamik dan pantas untuk beralih kepada sumber tenaga yang lebih mampan dan bersih seperti tenaga hijau atau tenaga yang boleh diperbaharui. Meningkatkan kecekapan tenaga dalam industri, bangunan dan pengangkutan juga boleh mengurangkan penggunaan tenaga keseluruhan dan pelepasan gas rumah hijau. Ini termasuk memperkenalkan teknologi yang lebih mesra alam, peralatan yang cekap tenaga dan mempromosikan pengangkutan awam.

iv. Pemuliharaan dan Penghutanan Semula: Melindungi hutan sedia ada dan penghutanan semula kawasan terdegradasi adalah penting. Hutan bertindak sebagai penyerap karbon, menyerap CO2 dari atmosfera. Program seperti projek Central Forest Spine (CFS) yang bertujuan untuk menghubungkan hutan yang tercerai wajar diperluaskan bagi mewujudkan ekosistem yang lebih besar dan lebih berdaya tahan.

v. Kesedaran dan Pendidikan Awam: Meningkatkan kesedaran awam tentang kesan perubahan iklim dan menggalakkan amalan mampan di peringkat komuniti dan individu adalah amat penting. Program pendidikan boleh memaklumkan orang ramai tentang kepentingan mengurangkan jejak karbon dan menyesuaikan diri atau beradaptasi dengan perubahan iklim.

vi. Infrastruktur Berdaya Tahan Iklim: Membangunkan infrastruktur yang boleh menahan impak kejadian cuaca ekstrem adalah penting. Ini termasuk membina struktur pertahanan/mitigasi banjir, menambah baik sistem perparitan dan membina bangunan yang boleh menahan keadaan iklim yang ekstrem.

vii. Dasar dan Perundangan: Dasar dan peraturan kerajaan yang kukuh adalah perlu untuk memacu peralihan ke arah masa depan yang mampan. Ini termasuk menetapkan sasaran pengurangan pelepasan karbon, menyediakan insentif untuk teknologi hijau, dan menguatkuasakan undang-undang perlindungan alam sekitar.

viii. Penyelidikan dan Inovasi: Melabur dalam penyelidikan dan inovasi untuk membangunkan teknologi dan kaedah baharu untuk mengurangkan dan menyesuaikan diri dengan perubahan iklim adalah penting. Universiti dan institusi penyelidikan boleh memainkan peranan penting dalam bidang ini.

6. Dengan mengambil tindakan pelaksanaan sebegini, Malaysia boleh berusaha ke arah mengurangkan kesan perubahan iklim dan memastikan iklim yang lebih baik dan lebih mampan untuk generasi akan datang.


Sekian, terima kasih.



Attachments