Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 3 | Sesi | Mesyuarat Kedua | Tarikh Persidangan | 18 July 2024 | Tahun Persidangan | 2024 | Kategori | Alam Sekitar | Nombor Soalan | 90 | Soalan | Tuan Sim Tze Tzin [ Bayan Baru ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan cara atau teknologi yang dipertimbangkan oleh Kementerian untuk mengendalikan pelupusan bateri Kereta Elektrik (EV), dan adakah Kementerian bercadang untuk mewujudkan industri pelupusan atau menambah baik peruntukan undang-undang untuk mencegah pembuangan bateri EV secara sembarangan.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Pada masa ini, terdapat lapan (8) buah premis di seluruh negara yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar untuk menerima buangan bateri Kereta Elektrik (EV) yang dikategorikan sebagai buangan terjadual dengan Kod SW 103 di bawah Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
Buangan bateri Kereta Elektrik (EV) oleh Premis Yang Ditetapkan Buangan Terjadual (PYDT BT) yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar akan melalui proses-proses seperti pengolahan/rawatan, pemerolehan kembali (recovery) unsur Lithium melalui hydrometallurgical process atau pelupusan ke tapak pelupusan selamat berdasarkan kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) untuk menjalankan aktiviti-aktiviti tersebut.
Untuk makluman, bateri Lithium terpakai juga dieksport keluar ke negara-negara lain terutamanya Amerika Syarikat memandangkan terdapat permintaan daripada negara-negara tersebut. Pengeksportan ini dilaksanakan berdasarkan kepada Perjanjian Dua Hala di antara Malaysia dan Amerika Syarikat serta Konvensyen Basel berkaitan pergerakan buangan terjadual merentasi sempadan.
Pengurusan buangan bateri Kereta Elektrik (EV) adalah tertakluk kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 dan mana-mana pihak yang didapati melakukan pelupusan buangan bateri Kereta Elektrik (EV) secara haram akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 34B iaitu Larangan terhadap penempatan, peletakan dan sebagainya buangan terjadual di mana berdasarkan pindaan pada Pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 yang berkuat kuasa mulai 7 Julai 2024 yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat memperuntukkan denda maksimum sehingga RM10 juta kepada pelaku jenayah pencemaran alam sekitar.
Sekian, terima kasih.
| Attachments |
|
|