Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 3 | Sesi | Mesyuarat Kedua | Tarikh Persidangan | 18 July 2024 | Tahun Persidangan | 2024 | Kategori | Alam Sekitar | Nombor Soalan | 105 | Soalan | Dr. Siti Mastura binti Muhammad [ Kepala Batas ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan: (a) jumlah terperinci caj kempen tiada beg plastik yang berjaya dikutip di setiap negeri sejak diperkenalkan; dan (b) adakah kempen ini berjaya mencapai matlamat
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) tetap komited dalam menangani pencemaran sisa plastik khususnya plastik sekali guna menerusi pelaksanaan Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030 dan Malaysia Plastics Sustainability Roadmap 2021-2030 (MPSR).
Untuk makluman, Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030 telah diperkenalkan pada 17 Oktober 2018. Pelan Hala Tuju ini merupakan rancangan jangka panjang Kerajaan dalam menangani masalah pencemaran plastik di Malaysia secara holistik. Kerajaan telah mengambil pendekatan secara berfasa dalam memperkenalkan setiap tindakan di bawah Pelan Hala Tuju ini supaya lebih berkesan dan bersasar serta membolehkan semua pihak memahami rasional bagi setiap pelan tindakan tersebut. Ini sekali gus akan mendorong pengguna untuk bertindak dan memilih alternatif yang positif serta mesra alam.
Antara inisiatif yang diambil oleh Kerajaan dengan kerjasama Kerajaan Negeri adalah dengan mengenakan caj pencemaran minima sebanyak 20 sen ke atas beg plastik konvensional di premis tetap. Ini adalah selaras dengan pendekatan user pay principle yang mana ia akan berfungsi sebagai deterrent bagi mengurangkan penggunaan dan pencemaran plastik sekali guna. Antara negeri yang melaksanakan caj pencemaran adalah Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Perak, Terengganu dan Kedah.
Untuk makluman, Kerajaan negeri Pulau Pinang telah memperkenalkan Kempen Tiada Beg Plastik Percuma sejak tahun 2009 dan mengenakan caj sebanyak RM0.20 bagi setiap pembelian beg plastik. Pada bulan Januari 2021, kerajaan negeri telah menaikkan kadar caj sumbangan kutipan beg plastik daripada RM0.20 ke RM1.00 setiap helaian beg plastik diikuti dengan Kempen Hari Tanpa Beg Plastik Negeri Pulau Pinang (No Plastic Bag Day). Jumlah terkumpul kutipan kempen tanpa beg plastik dari tahun 2009 hingga 2024 di Pulau Pinang adalah sebanyak RM19,424,867.10.
Selain itu, Kerajaan Negeri Selangor juga telah melaksanakan Kempen Bebas Plastik pada tahun 2010 tanpa mengenakan sebarang caj. Kempen ini lebih menekankan kepada aspek kesedaran mengenai kesan penggunaan plastik kepada alam sekitar. Sebagai langkah penambahbaikan, Kerajaan Negeri Selangor memperkenalkan caj beg plastik pada tahun 2020 dengan kutipan sebanyak RM0.20 bagi sehelai plastik sekali guna. Jumlah keseluruhan kutipan caj beg plastik di Negeri Selangor bagi tahun 2020 hingga 2023 berjumlah RM38,048,240.26.
Berdasarkan input daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Selangor, pelaksanaan caj pencemaran secara tidak langsung mengurangkan permintaan plastik sekali guna semasa proses jual-beli. Seperti mana tujuan pengenaan caj pencemaran ini, Kerajaan bukanlah berhasrat untuk mengutip dana daripada masyarakat, ianya adalah bertujuan untuk meningkat kesedaran dan pendidikan secara tidak langsung supaya pengguna membawa beg guna semula (reusable bag) ketika membeli belah. Pelbagai program advokasi telah dijalankan oleh pelbagai pihak sama ada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, industri dan juga daripada pertubuhan bukan kerajaan (non government organisation - NGO) berkaitan usaha untuk mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.
Bagi Perak, Kedah dan Terengganu pelaksanaan caj pencemaran bagi permintaan beg plastik sekali guna masih di peringkat awal. Data dan jumlah kutipan di negeri-negeri berkenaan masih di peringkat pengemasikinian. Manakala di Wilayah Persekutuan, kutipan caj pencemaran bagi permintaan beg biodegradasi adalah tidak dilaksanakan. Walau bagaimanapun, peniaga dibenarkan menjalankan kutipan bagi tujuan menanggung kos pembelian beg biodegradasi tersebut. Untuk makluman, negeri-negeri lain masih belum melaksanakan pengenaan dan kutipan caj pencemaran, namun semua negeri tersebut telah pun menjalankan kempen-kempen kesedaran untuk mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.
Akhir sekali, Kementerian komited dan yakin bahawa kempen dan sesi libat urus berterusan yang melibatkan semua pihak amat penting dalam memastikan kejayaan pelestarian plastik ini. Oleh yang demikian, Kementerian akan terus dan kekal bekerjasama dengan semua pihak terutamanya pihak industri dan NGO dalam meningkat kesedaran masyarakat. Pada masa yang sama, Kerajaan akan berusaha untuk terus menambahbaik pengurusan plastik secara lestari.
Sekian, terima kasih.
| Attachments |
|
|