Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

18 July 2024

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Perubahan Iklim

Nombor Soalan

108

Soalan

Tuan Chow Kon Yeow [ Batu Kawan ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan perincian matlamat dalam mencapai pelepasan karbon sifar bersih seawal 2050 :


(a) apakah status semasa pelaksanaan cukai karbon. Adakah pengenalan perdagangan karbon oleh Bursa akan bertentangan dengan cukai karbon; dan;


(b) apakah status semasa bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau menjelang 2030 sebagaimana komitmen bersama UNFCCC dan bagaimana negeri-negeri boleh memanfaatkan usaha-usaha ini.



Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Bagi pertanyaan mengenai cukai karbon, Kementerian Kewangan (MOF) dengan kerjasama World Bank Group (WBG) serta kementerian dan agensi berkaitan sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan mekanisme penetapan harga karbon [Partnership for Market Implementation (PMI) and PMI Readiness Support Plan (RSP)] di Malaysia. Hasil kajian tersebut akan dapat memberikan gambaran kebolehlaksanaan keseluruhan mekanisme penetapan harga karbon (carbon pricing) termasuk Cukai Karbon dan Skim Perdagangan Karbon (emission trading scheme - ETS). Kajian tersebut dijangka akan siap pada 2025.


  1. Untuk makluman Yang Berhormat juga, pelaksanaan cukai karbon ini tidak bertentangan malah ianya melengkapi usaha yang dibuat oleh pihak Bursa Malaysia dalam mengoperasikan pasaran karbon sukarela atau voluntary carbon market (VCM) negara. Pasaran karbon sukarela menjalankan perdagangan kredit karbon bagi memenuhi sasaran sukarela mitigasi pelepasan GHG syarikat swasta untuk menunjukkan komitmen mereka terhadap perlindungan alam sekitar dan tanggungjawab sosial korporat.


  1. Pada tahun 2022, Bursa Malaysia telah menubuhkan Bursa Carbon Exchange (BCX) yang merupakan pelantar perdagangan pasaran karbon sukarela patuh syariah yang pertama di dunia. Oleh yang demikian, syarikat yang tidak dikenakan cukai karbon boleh turut serta dalam pasaran karbon secara sukarela bagi mencapai sasaran pengurangan GHG masing-masing. Buat masa ini, pasaran karbon yang aktif di Malaysia adalah hanya pasaran karbon sukarela. Sehubungan dengan itu, syarikat yang berminat untuk menyertai pasaran karbon boleh menggunakan platform VCM khususnya BCX ini.




  1. Dalam masa yang sama, pelaksanaan mekanisme pasaran karbon pematuhan akan turut melengkapi pasaran karbon sukarela ini. Dalam hal ini, NRES sedang membangunkan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK) secara berperingkat yang akan melihat pelaksanaan pasaran karbon pematuhan dan sukarela secara menyeluruh. Dasar ini bertujuan untuk menyokong dan memudah cara pelaksanaan projek karbon oleh pelabur. Selain itu, DPKK juga dirangka untuk memudahkan pemegang taruh berkaitan seperti kerajaan negeri dan pihak swasta agar industri perdagangan karbon tempatan dapat berkembang.


  1. Seterusnya berhubung usaha untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, terdapat pelbagai langkah yang digunakan bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau menjelang tahun 2030. Tindakan-tindakan ini juga melibatkan kementerian dan agensi lain seperti yang telah digariskan dalam Bab 8 RMK-12. 


  1. Antara tindakan-tindakan mitigasi yang telah diambil adalah melalui penggunaan tenaga boleh baharu, meningkatkan penggunaan tenaga secara cekap melalui program National Energy Efficiency Action Plan, meningkatkan penggunaan pengangkutan awam berasaskan rel/kereta api, menggalakkan penggunaan kenderaan cekap tenaga, meningkatkan penggunaan biodiesel berasaskan sawit dalam diesel petroleum campuran, mempelbagaikan penggunaan bahan api yang lebih kurang pembebasan karbon seperti gas asli dalam kenderaan serta pelaksanaan program-program di bawah sub-sektor gas dan minyak. 


  1. Antara dasar-dasar utama yang telah dibangunkan iaitu New Industrial Master Plan (NIMP), National Energy Transition Roadmap (NETR) dan Hydrogen Economy and Technology Roadmap (HETR) pada tahun 2023 akan menyokong usaha negara bagi mencapai aspirasi pelepasan GHG sifar bersih pada tahun 2050.


  1. Kementerian juga telah selesai membangunkan Strategi Masa Panjang Pembangunan Rendah Karbon (Long Term Low Emission Development Strategies - LT-LEDS) bagi mengenal pasti strategi pengurangan pelepasan GHG ke arah mencapai aspirasi pelepasan GHG sifar bersih.


  1. Dokumen ini yang dibangunkan menggunakan peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) telah dibincangkan pada Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negara pada 14 Jun 2024 dan akan dibentangkan untuk kelulusan Jemaah Menteri.


  1. NRES juga sedang dalam proses memuktamadkan penyediaan dokumen Hala Tuju Nationally Determined Contribution (NDC Roadmap) Dokumen ini akan menggariskan hala tuju dan pelan tindakan mitigasi yang akan dilakukan pada peringkat nasional, serta akan dijadikan rujukan pada peringkat negeri bagi mencapai sasaran NDC negara pada tahun 2030.


Sekian, terima kasih.



Attachments