Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 3 | Sesi | Mesyuarat Kedua | Tarikh Persidangan | 22 July 2024 | Tahun Persidangan | 2024 | Kategori | Alam Sekitar | Nombor Soalan | 60 | Soalan | Senator Dr. Lingeshwaran A/L Dato' Seri R. Arunasalam minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah langkah-langkah yang sedang diambil oleh pihak Kerajaan untuk menangani isu mikroplastik yang membahayakan rakyat Malaysia memandangkan Malaysia antara negara paling tinggi di dunia dalam kadar pengambilan mikroplastik. Apakah kemudaratan daripada pengambilan kandungan mikroplastik yang tinggi.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Plastik dikategorikan sebagai salah satu komponen sisa yang terbesar yang telah mencemari ekosistem marin. Sisa plastik yang “terlepas” atau “tidak dapat dikutip” atau “terbuang” sama ada secara sengaja atau tidak sengaja ke dalam persekitaran akhirnya akan mengalir ke lautan dan seterusnya menjadi sumber utama mikroplastik akuatik.
Walau bagaimanapun, penyelidikan terperinci perlu dijalankan bagi menghubungkaitkan pencemaran mikroplastik dalam rantai makanan dan kesannya kepada kesihatan manusia. Untuk mendapatkan data pembuktian yang sebenar dan tepat, satu kajian klinikal yang lengkap ke atas manusia perlu dijalankan. Setakat ini, tiada kajian klinikal bagi pengesanan kuantiti mikroplastik dalam badan manusia telah dilaporkan di Malaysia.
Namun, dalam usaha untuk menangani isu plastik dan mikroplastik ini, Kementerian telah memperkenalkan 3 pelan tindakan iaitu: Malaysia Roadmap Towards Zero Single Use Plastics 2018-2030; Malaysian Plastic Sustainability Roadmap 2021-2030 (MPSR); dan National Marine Litter Policy and Action Plan 2021-2030.
Antara inisiatif yang telah dilaksanakan di bawah pelan-pelan tindakan tersebut adalah dengan mengenakan caj pencemaran minima sebanyak 20 sen ke atas beg plastik konvensional di premis tetap. Ini adalah selaras dengan pendekatan user pay principle yang mana ia akan berfungsi sebagai deterrent bagi mengurangkan penggunaan dan pencemaran plastik sekali guna.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, manusia boleh terdedah kepada pencemaran mikroplastik melalui pengambilan makanan dan melalui pernafasan. Namun begitu, data toksisiti dan toxicokinetic adalah sangat kurang bagi membuat penilaian risiko terhadap kesan kesihatan kepada manusia. Berdasarkan kajian kepustakaan, bahan buangan melibatkan mikroplastik boleh memberi ancaman kepada hidupan marin yang menjadi sumber makanan manusia dan secara tidak langsung turut memberi kesan terhadap kesihatan manusia. Mikroplastik boleh melalui saluran gastrousus (GI) yang boleh menjejaskan toleransi dan tindak balas sistem imun usus terhadap toksin dan patogen. Melalui kajian yang dibentangkan pada United European Gastroenterology (UEG) Week ke-26 pada tahun 2018 di Vienna, terdapat penemuan mikroplastik dalam najis manusia iaitu polypropylene (PP) dan polyethylene-terephthalate (PET).
Selain itu, terdapat kajian yang menyatakan mikroplastik boleh mendap dalam badan manusia melalui udara yang disedut dan boleh menyerap jauh ke dalam paru-paru sehingga mengakibatkan komplikasi pada sistem pernafasan. Mikroplastik turut boleh memasuki aliran darah melalui paru-paru dan boleh menyebabkan penyakit seperti kardiovaskular, serebrovaskular, kanser, dan mampu menjejaskan sistem imunisasi serta saraf manusia.
Dalam hal ini, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan, akan melaksanakan pemantauan mikroplastik bagi air minuman berbungkus dan air mineral semulajadi di pasaran tempatan pada tahun 2025 bagi memastikan jaminan keselamatan makanan yang dijual di pasaran.
Secara keseluruhan, pelaksanaan dasar-dasar yang berkaitan serta galakan untuk mengurangkan penggunaan plastik sekali guna masih perlu diperkasakan. Oleh itu, Kementerian kini sedang melihat keperluan untuk mewujudkan satu perundangan khusus berkaitan plastik di Malaysia. Langkah ini diharapkan dapat mempercepatkan peralihan pengurusan plastik daripada ekonomi linear kepada ekonomi kitaran. Kementerian percaya ini akan dapat mengurangkan pencemaran sisa plastik.
Akhir sekali, Kementerian komited dan yakin bahawa kempen dan sesi libat urus berterusan yang melibatkan semua pihak amat penting dalam memastikan kejayaan pelestarian plastik ini. Oleh yang demikian, Kementerian akan terus dan kekal bekerjasama dengan semua pihak terutamanya pihak industri dan pertubuhan bukan kerajaan (non government organisation - NGO) dalam meningkatkan kesedaran masyarakat. Pada masa yang sama, Kerajaan akan berusaha untuk terus menambahbaik pengurusan plastik secara lestari.
Sekian, terima kasih.
| Attachments |
|
|