Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 3 | Sesi | Mesyuarat Kedua | Tarikh Persidangan | 23 July 2024 | Tahun Persidangan | 2024 | Kategori | Alam Sekitar | Nombor Soalan | 18 | Soalan | Senator Dato' Sivaraj a/l Chandran minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan :- (a) langkah-langkah yang diambil untuk memperbaiki pengurusan sisa plastik, khususnya dalam mengurangkan pembuangan plastik yang tidak terkawal yang menjadi sumber utama mikroplastik akuatik; dan (b) sama ada terdapat sebarang inisiatif baharu yang dirancang untuk menguruskan sisa plastik dengan lebih berkesan.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Plastik dikategorikan sebagai salah satu komponen sisa yang terbesar yang telah mencemari ekosistem marin. Sisa plastik yang “terlepas” atau “tidak dapat dikutip” atau “terbuang” sama ada secara sengaja atau tidak sengaja ke dalam persekitaran akhirnya akan mengalir ke lautan dan seterusnya menjadi sumber utama mikroplastik akuatik.
Dalam usaha untuk menangani isu plastik dan mikroplastik ini, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah memperkenalkan 3 pelan tindakan iaitu: Malaysia Roadmap Towards Zero Single Use Plastics 2018-2030; Malaysian Plastic Sustainability Roadmap 2021-2030 (MPSR); dan National Marine Litter Policy and Action Plan 2021-2030.
Antara inisiatif yang telah dilaksanakan di bawah pelan-pelan tindakan tersebut adalah dengan mengenakan caj pencemaran minima sebanyak 20 sen ke atas beg plastik konvensional di premis tetap. Ini adalah selaras dengan pendekatan user pay principle yang mana ia akan berfungsi sebagai deterrent bagi mengurangkan penggunaan dan pencemaran plastik sekali guna.
Selain itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 [Akta 672] bertanggungjawab untuk mengawal selia pengurusan sisa pepejal dan dan pembersihan awam (PSPPA) di negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Kedah, Perlis serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Antara langkah-langkah untuk meningkatkan pengurusan sisa pepejal termasuk sisa plastik adalah seperti berikut:
melaksanakan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam termasuk pembersihan pantai awam yang dilaksanakan oleh tiga (3) syarikat konsesi lantikan Kerajaan bagi memastikan kebersihan pantai-pantai di negeri-negeri yang menerima pakai Akta 672 (tertakluk kepada kawasan pantai awam yang diserahkan kepada PBT) sentiasa terpelihara bagi mengawal sisa pepejal terutamanya sisa plastik supaya ianya tidak hanyut ke laut sehingga boleh menyebabkan pencemaran di perairan dan persisiran pantai. Walau bagaimanapun, perkhidmatan pembersihan pantai tersebut tidak termasuk pembersihan di kawasan perairan laut dan sungai kerana perkara ini adalah di luar punca kuasa Kementerian yang diperuntukkan di bawah Akta 672 dan skop perkhidmatan syarikat konsesi;
menguatkuasakan pelaksanaan program pengasingan sisa di punca (SAS) di sektor isi rumah bermula pada 1 September 2015 peraturan SAS di sektor komersial, industri dan institusi dan sektor pembinaan pada 1 Ogos 2018. Pelaksanaan SAS bukan sahaja menetapkan mengasingkan sisa pepejal mengikut kategori sisa baki, sisa kitar semula, sisa pukal dan sisa kebun/taman, tetapi dalam masa yang sama meningkatkan amalan 3R (reduce, reuse, recycle) di kalangan masyarakat serta meningkatkan jumlah sisa plastik terkumpul yang digunakan untuk kitar semula. Inisiatif SAS ini juga menyumbang kepada peningkatan Kadar Kitar Semula pada setiap tahun di mana kadar kitar semula pada tahun 2023 sebanyak 35.38% berbanding hanya 15.7% yang mula direkodkan pada tahun 2015; dan
membangunkan Dasar Kebersihan Negara (DKN) dengan tujuan menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara yang bersih dan mewujudkan masyarakat yang membudayakan amalan kebersihan bagi menjamin kesejahteraan hidup dan kelestarian alam sekitar. Melalui pelaksanaan DKN, pelbagai program komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam (CEPA) yang berorientasikan komuniti diperkasakan dengan penglibatan pihak-pihak berkepentingan seperti agensi-agensi kerajaan, swasta, dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk mempertingkatkan kesedaran rakyat tentang kepentingan pelaksanaan SAS, amalan penggunaan beg guna semula bagi mengurangkan pemakaian beg plastik dan impak pencemaran sisa pepejal terutamanya sisa plastik kepada alam sekitar.
Bagi menyokong pelaksanaan ekonomi kitaran seperti mana yang digariskan dalam RMKe-12, antara inisiatif baharu yang dilaksanakan oleh KPKT adalah dengan menyediakan KPKT Garis Panduan Pembangunan Taman Eko Sisa (Waste Eco Park – WEP). Garis panduan ini merupakan panduan kepada pihak pemaju dan semua pihak berkepentingan yang terlibat dalam merancang, mengawal dan menguruskan aktiviti pembangunan WEP di Malaysia. Kerajaan sentiasa menggalakkan pembangunan WEP oleh pihak industri supaya sisa pepejal termasuk sisa plastik yang dijana dalam kawasan WEP dapat dikitar semula dan dirawat bagi mengurangkan pelupusan sisa di tapak pelupusan.
Seterusnya, KPKT melalui Majlis Ekonomi Kitaran Bagi Sisa Pepejal (National Circular Economy Council - NCEC) bersetuju memperhebat kerjasama Kementerian dan industri untuk meneliti kaedah Material Flow Analysis dalam pengiraan kadar kitar semula. MFA merupakan kaedah pengiraan dan analisis data yang sistematik dengan menggunakan sistem carta aliran untuk menganalisis aliran komoditi sesuatu bahan seperti plastik.
Selain daripada inisiatif-inisiatif tersebut, penyelidikan terperinci perlu dijalankan bagi menghubungkaitkan pencemaran mikroplastik dengan kesannya kepada alam sekitar dan kesihatan manusia. Bagi mendapatkan data pembuktian yang sebenar dan tepat, satu kajian lapangan yang lengkap di persekitaran sungai dan lautan di Malaysia perlu dijalankan. Kini, Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) sedang menyediakan Standard Piawaian Mikroplastik bagi persampelan dan analisis analitikal dan berhasrat untuk Standard Piawaian tersebut diangkat menjadi MS (Malaysian Standard) melalui permohonan peruntukan RMKe-13.
Untuk makluman Yang Berhormat Senator juga, Kementerian kini sedang melihat keperluan untuk mewujudkan satu perundangan khusus berkaitan plastik di Malaysia. Langkah ini diharapkan dapat mempercepatkan peralihan pengurusan plastik daripada ekonomi linear kepada ekonomi kitaran. Kementerian percaya ini akan dapat mengurangkan pencemaran sisa plastik.
Akhir sekali, Kementerian komited dan yakin bahawa kempen dan sesi libat urus berterusan yang melibatkan semua pihak amat penting dalam memastikan kejayaan pelestarian plastik ini. Oleh yang demikian, Kementerian akan terus dan kekal bekerjasama dengan semua pihak terutamanya pihak industri dan pertubuhan bukan kerajaan (non government organisation - NGO) dalam meningkatkan kesedaran masyarakat. Pada masa yang sama, Kerajaan akan berusaha untuk terus menambahbaik pengurusan plastik secara lestari.
Sekian, terima kasih.
| Attachments |
|
|