Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

24 July 2024

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

86

Soalan

Senator Datuk Wira Koh Nai Kwong minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan perancangan terkini yang diambil untuk menangani masalah pencemaran sungai dan laut akibat pembuangan sisa industri dan apakah butiran mengenai program pemulihan ekosistem yang sedang dijalankan untuk memperbaiki kualiti air.​​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Antara usaha dan strategi telah dilaksanakan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi memelihara dan memulihara sungai daripada tercemar adalah seperti berikut:

    1. Mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap punca-punca pencemaran yang tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan peraturan-peraturan di bawahnya seperti kawalan pencemaran air dan kawalan kepada projek-projek pembangunan yang tertakluk kepada kelulusan Environmental Impact Assessment (EIA);

    2. Mengenal pasti lokasi aduan yang sering dikaitkan dengan  pencemaran air supaya penguatkuasaan adalah lebih berfokus;

    3. Penubuhan Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan (JK-KAS) yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri II dan dianggotai oleh pelbagai Kementerian, Jabatan dan Agensi di peringkat Persekutuan dan Negeri yang bertujuan untuk memantau isu dan langkah-langkah menangani pencemaran sungai yang merentasi bidang kuasa pelbagai Jabatan/Kementerian dan Kerajaan Negeri;

    4. Operasi Penguatkuasaan dan pemantauan bersepadu dengan agensi-agensi penguatkuasaan di peringkat persekutuan dan negeri seperti Pihak Berkuasa Tempatan, Pejabat Tanah dan Daerah, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Indah Water Konsortium (IWK), Jabatan Perkhidmatan Pembentungan (JPP), Jabatan Mineral dan Geosains, Badan Kawal Selia Air Negeri (BKSA), Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Agensi-agensi lain yang berkaitan; dan

    5. Memperkasakan perundangan alam sekitar sedia ada melalui pindaan AKTA KUALITI ALAM SEKELILING 1974,  dengan peningkatan jumlah denda maksima sehingga 10 juta dan hukuman penjara mandatori tidak melebihi 5 tahun kepada penjenayah alam sekitar.


  1. Bagi masalah pencemaran laut, pencemaran adalah berpunca daripada pembuangan minyak oleh kapal-kapal yang lalu atau berlabuh di perairan negara termasuk juga pencemaran yang berpunca daripada aktiviti-aktiviti offshore installation. Berhubung perkara ini, Kementerian melalui JAS akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan maritim seperti Jabatan Laut Malaysia (JLM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk mempertingkatkan pemantauan melalui rondaan dan penguatkuasaan secara bersepadu di kawasan perairan negara. 


  1. Dengan peningkatan jumlah denda bagi sabitan kesalahan penjenayah alam sekitar yang membuang minyak ke laut, NRES menyeru orang awam yang melihat sebarang kejadian tumpahan minyak yang berlaku di laut agar segera melaporkannya kepada JAS, JLM atau APMM untuk tindakan siasatan dan kawalan segera sebelum minyak sampai ke pantai.


  1. Selain daripada menjalankan aktiviti penguatkuasaan ke atas punca-punca industri yang berpotensi menghasilkan pencemaran air sungai dan marin, JAS juga menjalankan program pengawasan kualiti air sungai dan air marin melalui 1,353 stesen pengawasan kualiti air sungai manual dan 368 stesen pengawasan kualiti air marin manual. Persampelan bagi kualiti air sungai dan marin akan dijalankan di semua stesen sebanyak 6 kali setahun. Berdasarkan parameter yang dipantau, JAS dapat mengenalpasti punca yang berpotensi menyebabkan pencemaran dan ini membantu JAS dalam merancang aktiviti penguatkuasaan yang lebih berfokus kepada sektor industri dan kawasan industri yang menyumbang kepada pencemaran.



Sekian, terima kasih.



Attachments