Tuan Yang di-Pertua,
1. Kementerian akan terus komited untuk mengawal kemasukan sisa buangan secara haram ke negara ini. Di antara langkah-langkah drastik penguatkuasaan yang dilaksanakan ialah:
i) Memperketatkan sistem kawalan dan meningkatkan mekanisme penguatkuasaan di pintu masuk negara (pelabuhan dan pintu masuk darat) bersama agensi lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
ii) Tindakan penguatkuasaan bersepadu di pelabuhan akan turut dipertingkatkan bersama dengan Jabatan dan Agensi yang berkaitan seperti pihak Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Kementerian Pengangkutan (MOT), JKDM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta organisasi antarabangsa;
iii) Meningkatkan kerjasama dengan organisasi antarabangsa termasuk Sekretariat Konvensyen Basel, Asian Network, Enforce, Interpol dan lain-lain;
iv) Mewujudkan pasukan khas Jabatan Alam Sekitar di Pelabuhan Klang memandangkan pelabuhan ini mempunyai rekod kemasukan sisa buangan yang tinggi terutama bagi kes kemasukan buangan terjadual melibatkan e-waste; dan
v) Meningkatkan kerjasama dari segi latihan penguatkuasaan antara JAS dan agensi-agensi penguatkuasa seperti PDRM, JIM dan agensi-agensi lain yang berkaitan terutama dalam bidang risikan dan forensik.
2. Pada ketika ini, polisi negara adalah tidak membenarkan pengimportan e-waste. Buangan tersebut dikategorikan sebagai buangan terjadual di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
3. Mana-mana pihak yang didapati melakukan penempatan buangan terjadual sama ada di darat atau ke dalam perairan Malaysia, transit atau membenarkan ditransit e-waste tanpa kelulusan daripada Ketua Pengarah Alam Sekitar dan jika disabitkan kesalahan berdasarkan pindaan pada Pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 yang berkuat kuasa mulai 7 Julai 2024 boleh dikenakan denda minimum RM100,000 dan maksimum sehingga RM10 juta dan hukuman penjara mandatori tidak melebihi tempoh lima (5) tahun atau kedua-duanya sekali.
4. Selain daripada itu, syarikat yang mempunyai lesen import bagi mengimport sisa plastik kod tarif 39.15 adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Antara syarat tersebut adalah perlu mempunyai lesen perniagaan yang sah dari Pihak Berkuasa Tempatan, perlu mendapat kelulusan pematuhan Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS), mendapat kelulusan memasang dan mengoperasi jentera daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), mengemukakan pengesahan kapasiti sebenar mesin pemprosesan yang disahkan oleh Standard and Industrial Research Institute of Malaysia (SIRIM) dan hanya dibenarkan mengimport sisa plastik yang bersih dan homogen sahaja.
5. KPKT melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam memastikan sisa plastik yang diimport ke Malaysia adalah mematuhi perundangan yang ditetapkan termasuklah melaksanakan pemeriksaan di pelabuhan-pelabuhan utama secara bersama dengan pihak JKDM. Isu-isu berkaitan pengimportan turut dibincangkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Skrap Plastik Import yang dianggotai oleh pelbagai kementerian dan agensi iaitu KPKT, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Kementerian Perdagangan, Perdagangan dan Industri (MITI), JKDM, JPSPN, JAS dan SWCorp bagi memastikan penyelesaian terbaik dapat dicapai termasuklah menambahbaik dan memperkasa kawalan pengimportan ke dalam negara.
Sekian, terima kasih.