Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 3 | Sesi | Mesyuarat Kedua | Tarikh Persidangan | 24 July 2024 | Tahun Persidangan | 2024 | Kategori | Perubahan Iklim | Nombor Soalan | 107 | Soalan | Senator Tuan Amir bin Md Ghazali minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan kebimbangan semasa mengenai kesan perubahan iklim, bagaimanakah pihak Kerajaan mengusahakan untuk membangunkan dasar-dasar inovatif dalam teknologi hijau dan sumber tenaga lestari. Adakah terdapat rancangan khusus yang sedang dijalankan untuk menangani cabaran ini .
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Yang Berhormat Senator, Kerajaan telah membangunkan dasar-dasar inovatif dalam teknologi hijau seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) dan Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR). Dasar-dasar ini digubal bertujuan untuk memastikan Kerajaan komited dalam mencapai sasaran NDC negara pada tahun 2030 dan aspirasi pelepasan gas rumah kaca (GHG) sifar bersih pada tahun 2050.
Sebagai contoh, di bawah NETR, Kerajaan akan memperkasakan enam (6) bidang utama iaitu kecekapan tenaga, tenaga boleh baharu, hidrogen, biotenaga, mobiliti hijau dan pemerangkapan, penggunaan, dan penyimpanan karbon (CCUS). Impak daripada dasar dan strategi yang dilaksanakan ini akan menjana peluang pelaburan melebihi RM25 bilion, pewujudan 23,000 pekerjaan baharu dan pengurangan lebih daripada 10,000 Gg karbon dioksida setara setiap tahun.
Selain itu, Kerajaan juga menggalakkan inovatif dalam teknologi hijau melalui mekanisme yang sedang berkuat kuasa seperti berikut:
Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (Green Technology Financing Scheme - GTFS) bagi memudahkan pembiayaan oleh institusi-institusi kewangan kepada syarikat yang melaksanakan projek-projek teknologi hijau, perumahan hijau, infrastruktur mobiliti rendah karbon dan syarikat penyedia perkhidmatan tenaga (energy service company - ESCO). GTFS 4.0 yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 menawarkan dana pembiayaan berjumlah RM1 bilion sehingga 31 Disember 2025 atau pembiayaan tersebut habis digunakan;
Elaun Cukai Pelaburan Hijau (Green Investment Tax Allowance - GITA) untuk syarikat-syarikat yang membeli produk-produk hijau yang mempunyai pengiktirafan MyHIJAU Mark dan diperluaskan kepada aktiviti-aktiviti hijau baharu seperti battery energy storage system (BESS) serta penarafan bangunan hijau; dan
Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau (Green Income Tax Exemption - GITE) Solar Leasing bagi syarikat-syarikat yang menjalankan aktiviti solar leasing dengan Registered Solar PV Investor (RPVI) yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tenaga Lestari (Sustainable Energy Development Authority - SEDA) Malaysia.
Untuk makluman Yang Berhormat Senator juga, Mesyuarat Kelima Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negara (MTPIN) Bil. 1 Tahun 2024 yang telah dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri telah bersetuju untuk memuktamadkan dokumen Pelan Hala Tuju NDC (NDC Roadmap) dan Long-Term Low Emissions Development Strategy (LT-LEDS). Mesyuarat tersebut juga telah bersetuju untuk mempercepatkan pelaksanaan NETR, NIMP dan HETR serta dasar baharu seperti Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN). Pendekatan dan strategi yang dinyatakan di atas diharap dapat meminimakan kesan perubahan iklim kepada negara.
Sekian, terima kasih.
| Attachments |
|
|