Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

25 July 2024

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

65

Soalan

Senator Puan Noorita binti Sual minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah langkah-langkah yang diambil untuk memastikan peniaga-peniaga kecil khasnya di dalam usaha Kerajaan ke arah Sifar Penggunaan Plastik .

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) tetap komited dalam menangani pencemaran sisa plastik khususnya plastik sekali guna menerusi pelaksanaan Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030 dan Malaysia Plastics Sustainability Roadmap 2021-2030 (MPSR). Kedua-dua Pelan Hala Tuju ini merupakan rancangan jangka panjang Kerajaan dalam menangani masalah pencemaran plastik di Malaysia secara holistik. 


  1. Kementerian sedar bahawa usaha menangani pencemaran plastik melalui 2 pelan hala tuju dan dasar semasa masih belum memadai. Oleh itu, Kementerian kini sedang melihat keperluan untuk mewujudkan satu perundangan khusus berkaitan plastik di Malaysia. Langkah ini diharap akan dapat mempercepatkan peralihan pengurusan plastik daripada ekonomi linear kepada ekonomi kitaran. Kementerian percaya ini akan dapat mengurangkan pencemaran sisa plastik. Kementerian prihatin kepada semua pihak terutamanya kepada peniaga-peniaga kecil yang mungkin akan menerima kesan peralihan kepada ekonomi kitaran. Kerajaan akan menekankan bahawa peralihan kepada ekonomi kitaran dan  pengurangan penggunaan plastik sekali guna dilaksanakan secara berfasa.


  1. Kerajaan telah mengambil pendekatan secara berfasa dalam memperkenalkan setiap tindakan di bawah Pelan Hala Tuju ini supaya lebih berkesan dan bersasar serta membolehkan semua pihak memahami rasional bagi setiap pelan tindakan tersebut. Ini sekali gus akan mendorong pengguna untuk bertindak dan memilih alternatif yang positif serta mesra alam. 


  1. Antara inisiatif yang diambil oleh Kerajaan dengan kerjasama Kerajaan Negeri adalah dengan mengenakan caj pencemaran minima sebanyak 20 sen ke atas beg plastik konvensional di premis tetap. Ini adalah selaras dengan pendekatan user pay principle yang mana ia akan berfungsi sebagai deterrent bagi mengurangkan penggunaan dan pencemaran plastik sekali guna.


  1. Selain itu, satu lagi langkah dalam menambah baik pengurusan plastik ialah dengan menerapkan konsep ekonomi kitaran (circular economy) dalam rantaian pengurusan plastik. Langkah ini diyakini akan dapat memastikan plastik yang terhasil adalah plastik boleh dikitar semula. Kerajaan juga berhasrat supaya pembuatan plastik akan ditambah baik secara lestari di peringkat reka bentuk atau design agar ia lebih berfokus kepada reka bentuk yang lestari (sustainable design).


  1. Kementerian juga sedang memperhalusi kaedah dan pendekatan yang boleh digunakan dalam memperkasakan pengurusan sisa plastik dengan penerapan konsep ekonomi kitaran dengan pelaksanaan “Sistem terima balik dan sistem bayaran balik” (Deposit Return Scheme - DRS) seperti mana yang dinyatakan dalam Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 [Akta 672]. Justeru itu, Kementerian ini dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan meneliti kesesuaian kaedah pelaksanaan sistem ini.


  1. Akhir sekali, Kementerian komited dan yakin bahawa kempen dan sesi libat urus berterusan yang melibatkan semua pihak amat penting dalam memastikan kejayaan pelestarian plastik ini. Oleh yang demikian, Kementerian akan terus dan mengekalkan kerjasama dengan semua pihak terutamanya pihak industri dan pertubuhan bukan kerajaan (non government organisation - NGO) dalam meningkat kesedaran masyarakat. Pada masa yang sama, Kementerian akan berusaha untuk terus menambahbaik pengurusan plastik secara lestari dan usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak termasuk agensi Kerajaan seperti KPKT dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta sokongan daripada industri.


Sekian, terima kasih.



Attachments