Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 3 | Sesi | Mesyuarat Kedua | Tarikh Persidangan | 29 July 2024 | Tahun Persidangan | 2024 | Kategori | Alam Sekitar | Nombor Soalan | 4 | Soalan | Senator Dato' Sri Ti Lian Ker minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan kadar pemantauan terhadap kualiti 672 sungai di seluruh negara dan apakah intervensi Kementerian dalam menangani kemerosotan kualiti air sungai menerusi Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan (JKKAS) yang ditubuhkan.
| Jawapan | Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua; dan terima kasih Yang Berhormat Senator.
Pada tahun 2023, sebanyak 1,353 stesen pengawasan kualiti air sungai manual yang merangkumi 672 sungai telah dipantau di negara ini dengan kekerapan persampelan bagi setiap stesen dijalankan sebanyak enam (6) kali setahun. Selain itu terdapat juga 30 stesen pengawasan kualiti air sungai automatik yang bertujuan untuk memantau kualiti air sungai di hulu takat pengambilan air di sungai-sungai utama yang menjadi sumber bekalan air.
Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan (JK-KAS) yang dipengerusikan oleh YAB Dato' Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri II telah ditubuhkan bertujuan untuk memantau isu dan langkah-langkah menangani pencemaran sungai yang merentasi bidang kuasa pelbagai Jabatan/Kementerian dan Kerajaan Negeri. Jawatankuasa ini diterajui oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dengan kerjasama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Menerusi Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan (JKKAS) yang ditubuhkan YAB Timbalan Perdana Menteri II menetapkan bahawa tiga (3) syor yang dikemukakan di dalam pembentangan Jabatan Alam Sekitar adalah dipersetujui seperti berikut: Bengkel yang melibatkan semua pihak berkepentingan di peringkat Persekutuan, Kerajaan Negeri, PBT dan NGO berkaitan akan diadakan dalam tempoh sebulan selepas mesyuarat ini bagi melihat keseluruhan peraturan serta memperincikan tindakan bersepadu, pemantauan, penguatkuasaan dan pencegahan pencemaran supaya semua tindakan adalah selari dalam usaha meningkatkan kualiti air sungai negara; Mewujudkan Jawatankuasa Khas di peringkat negeri bagi memantau kualiti air sungai dan setiap agensi memainkan peranan dalam pengurusan sungai di negeri mengikut bidang kuasa dan bidang tugas setiap agensi masing-masing. Penentuan struktur jawatankuasa tersebut diserahkan kepada negeri masing-masing; dan Mesyuarat bersetuju supaya tindakan penguatkuasaan, peranan dan kebersamaan semua Jabatan/Agensi di peringkat Persekutuan, Negeri dan PBT bagi tindakan penguatkuasaan mengikut bidang kuasa masing-masing ke atas punca pencemaran dalam mensasarkan kualiti air sungai yang bersih demi kesejahteraan rakyat.
Dalam hal ini, Bengkel Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan telah dilaksanakan pada 3 hingga 4 Julai 2024 dengan kehadiran daripada pelbagai agensi di Peringkat Persekutuan dan Negeri bagi membincangkan dan memperhalusi tindakan yang perlu diambil bagi setiap agensi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan berdasarkan bidang kuasa masing-masing dalam menangani isu pencemaran sungai di seluruh negara.
Sekian, terima kasih.
| Attachments |
|
|