Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

30 July 2024

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Perubahan Iklim

Nombor Soalan

12

Soalan

Senator Dato' Dr. Ahmad Azam bin Hamzah minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian untuk mengurangkan pelepasan karbon di Malaysia dan apakah perancangan Kementerian untuk memenuhi komitmen Malaysia di bawah Perjanjian Iklim Paris 2015 mengenai perubahan iklim.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


1. Negara telah meratifikasi Perjanjian Paris pada tahun 2016. Sejak itu, Kerajaan telah dan sentiasa berusaha untuk memenuhi obligasinya serta memastikan kandungannya dapat dioperasikan di Malaysia. Perancangan Kementerian bagi merealisasikan perkara ini tertumpu kepada dua (2) elemen utama iaitu pembangunan dasar dan perundangan.


2. Dari sudut pembangunan dasar, Mesyuarat Kelima Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negara (MTPIN) Bil. 1 Tahun 2024 yang telah dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri telah bersetuju untuk memuktamadkan dokumen Hala Tuju Nationally Determined Contribution (NDC Roadmap) dan Long-Term Low Emissions Development Strategy (LT-LEDS). Kedua-dua dokumen ini menggariskan hala tuju dan pelan tindakan mitigasi yang akan dilakukan, masing-masing bagi mencapai sasaran NDC negara pada tahun 2030 dan aspirasi pelepasan sifar bersih negara pada tahun 2050.


3. Selain itu, MPTIN juga bersetuju untuk meluluskan Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0 (DPIN 2.0). DPIN 2.0 ini merupakan Dasar Perubahan Iklim (DPIN) 2009 yang telah disemak semula dan dikemaskini bagi mengambil kira komitmen Malaysia di bawah Perjanjian Paris 2015 selain turut mengambil kira perkara berkaitan seperti adaptasi perubahan iklim, isu kewangan, pembangunan kapasiti dan kesedaran, penyelidikan dan pembangunan dan sebagainya.


4. DPIN 2.0 ini turut mengambil kira perkembangan dasar dan perkembangan terkini isu perubahan iklim di peringkat domestik serta antarabangsa termasuk komitmen untuk mengurangkan pelepasan gas rumah kaca seiring dengan objektif di bawah Perjanjian Paris untuk menghadkan kenaikan suhu di bawah 2° darjah celsius dan melakukan usaha untuk menghadkan kenaikan suhu di bawah 1.5° celsius. 



5. Dari sudut perundangan pula, Kementerian juga sedang membangunkan Rang Undang Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) yang akan menjadi instrumen utama bagi memastikan dasar-dasar yang telah saya sebutkan tadi dapat dilaksanakan secara efektif di Malaysia. Buat masa ini, Kementerian sedang melaksanakan sesi libat urus bersama semua pemegang taruh yang terlibat termasuk Kerajaan Negeri selaras dengan pendekatan whole of nation approach, dengan izin, yang dipraktikkan dalam pembangunan RUU ini. 


6. Adalah penting agar elemen-elemen ini dilihat secara bersepadu dalam melaksanakan tindakan iklim yang dirancang bagi memastikan tadbir urus perubahan iklim di negara ini adalah tuntas dan melengkapi dasar Kerajaan lain yang sedia ada. Ini kerana, perancangan ini bukan sahaja dibuat bagi memenuhi komitmen Malaysia di bawah Perjanjian Paris malahan ianya juga dapat menyumbang kepada kesejahteraan dan peningkatan tahap sosio-ekonomi negara.




Sekian, terima kasih.




Attachments