Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 3 | Sesi | Mesyuarat Kedua | Tarikh Persidangan | 31 July 2024 | Tahun Persidangan | 2024 | Kategori | Alam Sekitar | Nombor Soalan | 59 | Soalan | Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang bin Sariyan minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah langkah susulan yang dilakukan untuk mengatasi isu 25 buah sungai di enam buah negeri yang dikategorikan sebagai sungai tercemar, sebagaimana yang dilaporkan dalam pernyataan media Menteri pada 6 Jun 2024.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Pada tahun 2023, sebanyak 1,353 stesen pengawasan kualiti air sungai manual yang merangkumi 672 sungai telah dipantau di negara ini dengan kekerapan persampelan bagi setiap stesen dijalankan sebanyak enam (6) kali setahun. Selain itu terdapat juga 30 stesen pengawasan kualiti air sungai automatik yang bertujuan untuk memantau kualiti air sungai di hulu takat pengambilan air di sungai-sungai utama yang menjadi sumber bekalan air.
Selain daripada aktiviti pemantauan dan pengawasan kualiti air sungai, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) sentiasa komited untuk menjalankan aktiviti penguatkuasaan bagi memelihara dan memulihara sungai-sungai daripada tercemar. Antaranya adalah seperti berikut: Mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap punca-punca pencemaran yang tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan peraturan-peraturan di bawahnya seperti kawalan pencemaran air dan kawalan kepada projek-projek pembangunan yang tertakluk kepada kelulusan Environmental Impact Assessment (EIA); Mengenal pasti lokasi aduan yang sering dikaitkan dengan pencemaran air supaya penguatkuasaan adalah lebih berfokus; Operasi Penguatkuasaan dan pemantauan bersepadu dengan agensi-agensi penguatkuasaan di peringkat persekutuan dan negeri seperti Pihak Berkuasa Tempatan, Pejabat Tanah dan Daerah, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Indah Water Konsortium (IWK), Jabatan Perkhidmatan Pembentungan (JPP), Jabatan Mineral dan Geosains, Badan Kawal Selia Air Negeri (BKSA), Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Agensi-agensi lain yang berkaitan; dan Memperkasakan perundangan alam sekitar sedia ada melalui pindaan AKTA KUALITI ALAM SEKELILING 1974, dengan peningkatan jumlah denda maksima sehingga 10 juta dan hukuman penjara mandatori tidak melebihi 5 tahun kepada penjenayah alam sekitar.
Walaubagaimanapun, isu pencemaran sungai di negara ini perlu ditangani secara bersepadu dengan penglibatan Kerajaan Persekutuan, Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan memandangkan sektor yang menyumbang kepada kemerosotan kualiti air sungai ini bukan hanya melibatkan sektor industri tetapi juga melibatkan sektor lain seperti perbandaran, penternakan, pertanian serta aktiviti komersial yang tidak mempunyai sistem rawatan efluen atau kumbahan yang sempurna. Di samping itu, sisa daripada pasar basah, gerai makanan, dobi, pusat cucian kereta, industri kecil dan sederhana (IKS) serta sisa dari rumah atau setinggan yang dilepaskan tanpa rawatan ke longkang dan dihanyutkan ke sungai juga menyumbang kepada kemerosotan kualiti air sungai.
Menyedari kepentingan ini, Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan (JK-KAS) yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri II dan dianggotai oleh pelbagai Kementerian, Jabatan dan Agensi di peringkat Persekutuan dan Negeri telah ditubuhkan. Jawatankuasa ini diterajui oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dengan kerjasama oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES). JK-KAS bertujuan untuk memantau isu pencemaran sungai dan berperanan penting dalam memastikan langkah-langkah menangani pencemaran sungai yang merentasi bidang kuasa pelbagai Jabatan/ Kementerian dan Kerajaan Negeri dapat dilaksanakan secara bersepadu.
Sekian, terima kasih.
| Attachments |
|
|