Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 3 | Sesi | Mesyuarat Kedua | Tarikh Persidangan | 31 July 2024 | Tahun Persidangan | 2024 | Kategori | Alam Sekitar | Nombor Soalan | 77 | Soalan | Senator Tuan Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan mekanisme untuk mencapai sasaran pengharaman penggunaan beg plastik untuk pembelian runcit merentasi semua sektor perniagaan di seluruh negara menjelang tahun 2025 selaras dengan Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) tetap komited dalam menangani pencemaran sisa plastik khususnya plastik sekali guna menerusi pelaksanaan Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030 dan Malaysia Plastics Sustainability Roadmap 2021-2030 (MPSR). Kedua-dua Pelan Hala Tuju ini merupakan rancangan jangka panjang Kerajaan dalam menangani masalah pencemaran plastik di Malaysia secara holistik.
Pada masa yang sama, Kerajaan sedang dalam usaha untuk menambah baik pengurusan plastik dengan menerapkan konsep ekonomi kitaran (circular economy) dalam rantaian pengurusan plastik. Langkah ini diyakini akan dapat memastikan plastik yang terhasil adalah plastik boleh dikitar semula. Kerajaan juga berhasrat supaya pembuatan plastik akan ditambah baik secara lestari di peringkat reka bentuk (design) agar ia lebih berfokus kepada reka bentuk yang lestari (sustainable design). Dengan penambahbaikan kepada reka bentuk plastik termasuk meneroka plastik alternatif, penggunaan beg plastik sekali guna konvensional dapat dikurangkan.
Kerajaan juga telah mengambil pendekatan secara berfasa dalam memperkenalkan setiap tindakan di bawah Pelan Hala Tuju ini supaya lebih berkesan dan bersasar serta membolehkan semua pihak memahami rasional bagi setiap pelan tindakan tersebut. Ini sekali gus akan mendorong pengguna untuk bertindak dan memilih alternatif yang positif serta mesra alam.
Antara inisiatif yang diambil oleh Kerajaan dengan kerjasama Kerajaan Negeri adalah dengan mengenakan caj pencemaran minima sebanyak 20 sen ke atas beg plastik konvensional di premis tetap. Ini adalah selaras dengan pendekatan user pay principle yang mana ia akan berfungsi sebagai deterrent bagi mengurangkan penggunaan dan pencemaran plastik sekali guna. Antara negeri yang melaksanakan caj pencemaran adalah Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Perak, Terengganu dan Kedah. Untuk makluman, negeri-negeri lain masih belum melaksanakan pengenaan dan kutipan caj pencemaran, namun semua negeri tersebut telah pun menjalankan kempen-kempen kesedaran untuk mengurangkan penggunaan plastik sekali guna. Sesetengah negeri seperti Negeri Sembilan dan Sabah telahpun melaksanakan Kempen Tiada Beg Plastik Sekali Guna di kawasan masing-masing.
Pelaksanaan caj pencemaran masih berfokus kepada “beg plastik jinjit” dan dilaksanakan di premis tetap sahaja. Kerajaan masih menimbang pelaksanaan ini untuk diperluaskan di lain-lain premis seperti di pasar malam, kedai makan dan juga pasar basah. Peluasan di lain-lain premis perlu mengambil kira ketersediaan plastik alternatif seperti beg biodegradasi dan kesesuaian plastik alternatif tersebut untuk digunakan (contohnya di pasar basah). Selain itu, Kerajaan juga sedang menimbang pelaksanaan “Tiada Beg Plastik Sekali Guna” iaitu tidak memberi langsung apa-apa plastik jinjit konvensional dalam urusan jual-beli.
Untuk makluman, Kerajaan telah melaksanakan langkah proaktif dalam mengurangkan penggunaan plastik sekali guna menerusi Surat Pekeliling Am Bilangan 6 Tahun 2024, Strategi Pelaksanaan menghindari Plastik Sekali Guna. Strategi ini adalah untuk memastikan semua pejabat-pejabat Kerajaan tidak lagi menggunakan plastik sekali guna dalam mesyuarat, program dan aktiviti rasmi. Kerajaan percaya usaha Kerajaan mendepani inisiatif mengurangkan pencemaran plastik terutamanya plastik sekali guna dapat dicontohi oleh semua pihak.
Akhir sekali, Kementerian komited dan yakin bahawa kempen dan sesi libat urus berterusan yang melibatkan semua pihak amat penting dalam memastikan kejayaan pelestarian plastik ini. Oleh yang demikian, Kementerian akan terus dan kekal bekerjasama dengan semua pihak terutamanya pihak industri dan NGO dalam meningkat kesedaran masyarakat. Pada masa yang sama, Kerajaan akan berusaha untuk terus menambahbaik pengurusan plastik secara lestari.
Sekian, terima kasih.
| Attachments |
|
|