Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 3 | Sesi | Mesyuarat Kedua | Tarikh Persidangan | 01 August 2024 | Tahun Persidangan | 2024 | Kategori | Perhutanan, Biodiversiti | Nombor Soalan | 82 | Soalan | Senator Dato' Ajis bin Sitin minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan sehingga kini, berapakah jumlah bayaran pampasan atau ex-gratia yang telah dibayar kepada penduduk Orang Asli yang menjadi mangsa pencerobohan binatang buas terutamanya gajah, harimau dan beruang yang telah memasuki kawasan perkampungan Orang Asli dan kawasan Orang Asli kerana binatang-binatang ini telah membinasakan tanaman pertanian sehingga ada kes Orang Asli dibunuh oleh binatang-binatang itu bagi mempertahankan kawasan mereka.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua, Bayaran pampasan atau ex-gratia kepada Orang Asli yang mengalami kecederaan atau kematian serangan hidupan liar adalah di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) pula menguruskan inisiatif Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar (BKHT) kepada kumpulan sasar yang mengalami kerosakan atau kemusnahan harta benda dan tanaman akibat serangan hidupan liar. BKHT diperkenalkan pada tahun 2024 dengan peruntukan sebanyak RM10 juta.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, sehingga kini seramai 58 pemohon telah menerima BKHT dengan nilai bayaran keseluruhan sebanyak RM228,000.00. Bagaimanapun, setakat ini tiada permohonan diterima daripada masyarakat Orang Asli. Oleh itu, NRES memohon supaya Jabatan/ Agensi yang berkaitan termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk mempertingkatkan hebahan supaya lebih ramai kumpulan sasar mengetahui mengenai inisiatif BKHT dan mendapat manfaat daripada pelaksanaannya.
Sekian, terima kasih.
| Attachments |
|
|