Tuan Yang di-Pertua,
1. Ancaman perubahan iklim seperti banjir dan kemarau berpanjangan akan memberi impak terhadap sektor pertanian dan keterjaminan makanan yang melibatkan hasil tanaman hasil pertanian, haiwan ternakan dan aset petani. Hal ini sekaligus akan menjejaskan 'livelihood' kumpulan yang terjejas (vulnerable groups) terutamanya petani dan penduduk di kawasan berisiko tinggi.
2. Menyedari hal ini, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dengan kerjasama organisasi antarabangsa dan agensi tempatan sedang membangunkan Pelan Tindakan Adaptasi Kebangsaan (MyNAP). Dokumen ini akan menjadi panduan asas untuk merangka strategi tindakan negara bagi menangani kesan perubahan iklim seperti banjir, kenaikan paras laut, hakisan pantai dan kemarau. Untuk makluman Yang Berhormat juga, MyNAP ini adalah bersifat menyeluruh dan akan memerlukan penglibatan pihak berkepentingan di peringkat pusat dan kerajaan negeri.
3. Kementerian ini juga sedang menggubal Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN). Antara tujuan RUU ini antara lain memastikan tindakan-tindakan mitigasi dan adaptasi yang perlu dilaksanakan dapat dibuat secara efektif di peringkat pusat, kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan.
Sekian, terima kasih.