Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 3 | Sesi | Mesyuarat Pertama | Tarikh Persidangan | 18 March 2024 | Tahun Persidangan | 2024 | Kategori | Tanah, Ukur dan Pemetaan, Geospatial | Nombor Soalan | 91 | Soalan | Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad [ Bagan Serai ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan langkah-langkah Kerajaan dalam memberikan kesedaran berkaitan pewarisan dan tuntutan harta pusaka kepada masyarakat dan usaha agensi Kerajaan dalam mengurangkan jumlah harta pusaka yang tidak dituntut.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian ini melalui Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) selaku agensi pelaksana dalam urusan pembahagian harta pusaka di Malaysia telah mengambil beberapa langkah dalam meningkatkan kesedaran pengurusan pusaka di kalangan ahli waris seperti berikut: mengadakan kempen kesedaran kepada masyarakat melalui program-program khusus seperti seminar, Program Sehari Bersama Waris, Klinik Penyelesaian Tunggakan Pusaka di peringkat daerah dan negeri yang dikendalikan oleh Bahagian Pembahagian Pusaka, JKPTG; memberi kesedaran tentang kepentingan menyelesaikan harta pusaka melalui khutbah Jumaat dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri; dan mengadakan program outreach menerusi pembukaan reruai (booth) berkenaan pengurusan harta pusaka di pelbagai program anjuran Kementerian/Agensi Kerajaan.
Selaras dengan hasrat untuk meningkatkan pendigitalan perkhidmatan dan semakan perundangan, Kerajaan telah melaksanakan dua (2) inisiatif iaitu: membangunkan sistem permohonan pusaka secara dalam talian sepenuhnya (MyLAND) bagi memudahkan dan mempercepatkan proses permohonan dan pembahagian pusaka. Modul Pembahagian Pusaka dalam sistem MyLAND dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama, tahun 2024; dan
menambah baik prosedur selaras dengan pindaan terkini Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 [Akta 98].
Sekian, terima kasih.
| Attachments |
|
|