Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

21 March 2024

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Mineral, Geosains

Nombor Soalan

17

Soalan

Tuan Suhaizan bin Kaiat [ Pulai ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan adakah Kerajaan mempunyai apa-apa perancangan bagi menubuhkan sebuah syarikat milikan Kerajaan bagi menguruskan hasil-hasil nadir bumi yang terdapat di negara ini seperti penubuhan syarikat carigali minyak, PETRONAS pada tahun 1974.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Cadangan pewujudan syarikat khusus untuk menguruskan sumber unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) telah dibangkit dan dibincangkan semasa sesi libat urus draf Kerangka Dasar Mineral Negara 3 pada 8 hingga 11 Ogos 2023. Sesi libat urus ini disertai oleh pemegang taruh melibatkan agensi Kerajaan Persekutuan, agensi Kerajaan Negeri, penggiat industri, pakar-pakar, ahli akademik, badan bukan Kerajaan (NGO) dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO). Selain itu, ia juga telah disentuh semasa perbincangan dalam mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Industri Mineral (JKKPIM) pada 2 Oktober 2023.


  1. Berdasarkan maklum balas yang diterima, cadangan ini memerlukan kajian yang lebih mendalam daripada segi kebolehlaksanaan khususnya dari aspek perundangan dengan mengambil kira sumber mineral adalah terletak hak di bawah kuasa Negeri seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Dalam masa yang sama, beberapa negeri telah mengambil langkah mewujudkan anak syarikat khusus bagi menguruskan pembangunan industri mineral di negeri masing-masing.

 

  1. Walau bagaimanapun, merujuk kepada kajian Cadangan Model Perniagaan (Business Model) Pembangunan Industri NR-REE di Malaysia yang dilaksanakan oleh Kementerian dengan kerjasama Akademi Sains Malaysia (ASM), Kementerian melihat terdapat keperluan untuk mewujudkan entiti khusus bagi mengusaha hasilkan sumber NR-REE negara, khususnya di peringkat pertengahan dan hiliran. Perkara ini masih dalam penelitian Kementerian. 


Sekian, terima kasih.



Attachments