Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

21 March 2024

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Perubahan Iklim

Nombor Soalan

36

Soalan

Datuk Seri Utama Hasni bin Mohammad [ Simpang Renggam ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah cabaran Kerajaan terhadap pelan tindakan dan perubahan dasar yang bakal dilakukan untuk mempercepatkan usaha mitigasi perubahan iklim berdasarkan Konferens Perubahan Iklim PBB 2023 (COP 28).

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, secara umumnya, hasil Persidangan Ke-28 Negara Ahli Kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (The 28th Conference of Parties to the United Nations Framework Convention on Climate Change – UNFCCC-COP 28) telah berjaya memacu usaha inklusif di peringkat global untuk menangani perubahan iklim serta meningkatkan cita-cita bagi mencapai matlamat Perjanjian Paris di dalam pakej yang dinamakan ‘The UAE Consensus’.


2. Antara cabaran yang telah dikenal pasti adalah keperluan sokongan means of implementation dari negara maju yang merangkumi pembangunan kapasiti, bantuan teknikal dan pembiayaan bagi negara-negara membangun melaksanakan program mitigasi perubahan iklim. Selain itu, negara juga perlu menggubal atau mengemaskini dasar dan perundangan berkaitan agar tindakan khusus berkaitan perubahan iklim merangkumi pelaporan kepada UNFCCC, dasar pasaran karbon dan pelan tindakan adaptasi dapat dilaksanakan secara efektif serta dapat memenuhi obligasi Perjanjian Paris.


3. Dalam hal ini, Kerajaan melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam sedang membangunkan Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim Negara. RUU ini dijangka akan membolehkan negara mengoperasikan tindakan iklim yang digariskan di dalam Perjanjian Paris untuk dilaksanakan di peringkat domestik. RUU ini juga digubal bagi mencapai aspirasi perubahan iklim negara serta matlamat pembangunan mampan jangka masa panjang. Oleh yang demikian, RUU ini juga memberi tumpuan khusus kepada kawal selia pelepasan GHG di samping usaha untuk mengurangkan kesan perubahan iklim.  


4. Kementerian juga sedang membangunkan Strategi Rendah Karbon Jangka Masa Panjang (Long Term Low Emission Development Strategies - LT-LEDS) bagi mengenal pasti strategi pengurangan pelepasan GHG ke arah mencapai aspirasi ini.


5. Kementerian juga sedang membangunkan pelan hala tuju dan tindakan Nationally Determined Contribution (NDCs) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12. Pelan hala tuju dan tindakan NDC yang sedang dibangunkan dapat memastikan inisiatif perubahan iklim dapat dilaksanakan secara holistik, terangkum dan berkesan bagi menyokong usaha Malaysia mencapai sasaran NDC pada tahun 2030.


Sekian, terima kasih.



Attachments