Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 3 | Sesi | Mesyuarat Pertama | Tarikh Persidangan | 27 March 2024 | Tahun Persidangan | 2024 | Kategori | Perhutanan, Biodiversiti | Nombor Soalan | 20 | Soalan | Tuan Afnan Hamimi bin Taib Azamudden [ Alor Setar ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan adakah Kerajaan akan memperkenalkan polisi dan dasar baharu berkenaan hutan simpan memandangkan empat prosedur berkaitan perlombongan unsur nadir bumi (REE) telah diperkenalkan.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, sumber unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Malaysia diperolehi daripada lempung jerapan ion yang tersebar secara meluas terutama di kawasan batuan granitik terluluhawa di Malaysia. Ianya bersifat bukan radioaktif yang berpotensi dilombong secara berekonomi.
Bagi memastikan aktiviti perlombongan NR-REE dijalankan secara teratur, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah membangunkan prosedur operasi standard (SOP) Perlombongan NR-REE di Malaysia bagi mengawal selia aktiviti perlombongan NR-REE. SOP tersebut menyediakan prosedur yang teratur bagi aktiviti di peringkat pra-perlombongan, semasa perlombongan dan pasca-perlombongan.
Buat masa ini, Kementerian masih mengekalkan dasar sedia ada iaitu untuk tidak meluluskan sebarang kelulusan Surat Kebenaran Skim Pengendalian Melombong (Operational Mining Scheme - OMS) bagi aktiviti perlombongan di kawasan-kawasan pemeliharaan iaitu Hutan Simpanan Kekal (HSK), Kawasan Rizab Perlindungan (PA), Kawasan Tadahan Air dan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).
Walau bagaimanapun, mengambil kira perkembangan terkini serta sumber pertumbuhan baharu dalam industri nadir bumi, NRES melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Jabatan Mineral Geosains Malaysia (JMG), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) sedang memperhalusi cadangan kebolehlaksanaan aktiviti perlombongan nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) dalam kawasan HSK dengan mengambil kira pandangan daripada semua pemegang taruh serta Pihak Berkuasa Negeri (PBN).
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, FRIM telah diberikan tanggungjawab untuk mengetuai dan menjalankan Kajian Penilaian Impak Perlombongan NR-REE ke atas HSK yang meliputi impak ke atas ekosistem dan ekologi hutan secara menyeluruh, pertumbuhan dirian atau tumbuhan hutan, tahap kesuburan dan kestabilan struktur tanah serta implikasi kepada hidupan liar. Kajian ini bertujuan untuk menilai kesan perlombongan NR-REE ke atas HSK bagi tempoh jangka masa pendek dan jangka masa panjang. Sebarang polisi dan dasar baharu berkenaan HSK bergantung kepada hasil penilaian impak yang dilaksanakan kelak.
Sekian, terima kasih.
| Attachments |
|
|