Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 3 | Sesi | Mesyuarat Pertama | Tarikh Persidangan | 27 March 2024 | Tahun Persidangan | 2024 | Kategori | Perhutanan, Biodiversiti | Nombor Soalan | 41 | Soalan | Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman [ Sik ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan perancangan untuk membantu mengurangkan beban kewangan Kerajaan Negeri Kedah dalam memelihara hutan dan sungai di kawasan tadahan hujan Ulu Muda sebagai kawasan air untuk keperluan rakyat di negeri-negeri utara.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Perkara 74 (2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa hutan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Manakala, bidang kuasa Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) adalah dalam memberikan nasihat teknikal mengenai pengurusan dan pembangunan hutan serta menjalankan penyelidikan dan khidmat latihan.
Walau bagaimanapun, NRES melalui JPSM dan Jabatan-jabatan Perhutanan Negeri giat melaksanakan usaha pewartaan Hutan Simpanan Kekal (HSK) sebagai Hutan Tadahan Air (HTA) berdasarkan peruntukan Seksyen 10 Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313]. Kawasan ini dikategorikan sebagai hutan perlindungan di mana sebarang aktiviti pengusahasilan hutan dan pembangunan tidak dibenarkan. Sehingga 31 Disember 2022, seluas 931,476.58 hektar kawasan di dalam HSK telah diwartakan sebagai HTA di Semenanjung Malaysia.
Dalam yang sama, pihak kementerian juga telah menyediakan insentif kewangan bagi konservasi biodiversiti dan hutan (Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation - EFT) kepada Kerajaan-kerajaan Negeri. Sehingga 2023, Kerajaan Negeri Kedah telah menerima peruntukan EFT berjumlah RM24,846,634. Walaupun jumlah tersebut tidak banyak, ia sekurang-kurangnya diharap dapat membantu mengurangkan beban kewangan Kerajaan Negeri Kedah dalam memelihara hutan dan sungai di kawasan tadahan hujan Ulu Muda sebagai kawasan air untuk keperluan rakyat.
Sekian, terima kasih.
| Attachments |
|
|