Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

27 March 2024

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

42

Soalan

Tuan Yuneswaran A/L Ramaraj [ Segamat ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan adakah Kerajaan mempunyai rancangan untuk memperbaiki pelaksanaan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (Environmental Impact Assessment - EIA) bagi mengenal pasti dan menilai akibat-akibat alam sekitar yang berpotensi timbul dari projek atau pembangunan yang dicadangkan sebelum dilaksanakan.

Jawapan

Terima kasih Tan Sri / Datuk / Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Segamat,


1.        Pihak Kementerian melalui Jabatan Alam Sekitar sentiasa berusaha untuk menambahbaik pelaksanaan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) di Malaysia. Bagi tujuan ini, beberapa penambahbaikan EIA telah dan sedang dilaksanakan bagi memantapkan prosedur EIA di Malaysia dengan lima (5) skop utama telah diberikan keutamaan, iaitu:

Skop Pertama ialah Pengukuhan keperluan perundangan berkaitan EIA dan tadbir urus dalam penilaian EIA. Antara usaha ialah:

  1. mengkaji semula aktiviti yang memerlukan penyediaan Laporan EIA di bawah Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015;

  2. menggubal peraturan baharu berkaitan dengan EIA bagi pemantapan pelaksanaan syarat-syarat kelulusan EIA;

  3. cadangan mewujudkan satu lembaga professional yang mengawalselia isu-isu berkaitan dengan profesionalisma Jururunding EIA dan lain-lain fungsi; dan

  4. memantapkan kawalselia jururunding EIA.

Skop Kedua ialah Pemerkasaan prosedur EIA di Malaysia.  Antara penambahbaikan ialah:

  1. menambahbaik Garis Panduan Penyediaan Laporan EIA sedia ada;

  2. mengkaji tempoh piagam bagi penilaian Laporan EIA;

  3. menambah nilai elemen dalam kandungan Laporan EIA sedia ada; dan

  4. penetapan garis masa dalam penilaian Laporan EIA. 

Skop Ketiga ialah  Pengukuhan Libat Urus Awam. Antara penambahbaikan ialah:

  1. mentransformasi kaedah libat urus bersama pihak berkepentingan dan pameran awam bagi projek EIA (secara atas talian di laman sesawang dan media sosial dengan kaedah infografik); dan

  2. penglibatan semua pihak sama ada agensi kerajaan, sektor swasta, NGO dan orang awam semasa proses kajian, penilaian dan penguatkuasaan EIA.

 Skop Keempat ialah  Pemantapan Penguatkuasaan EIA. Antara penambahbaikan ialah:

  1. menambahbaik Prosedur Tetap Operasi Penguatkuasaan EIA sedia ada;

  2. menambah nilai kaedah penguatkuasaan EIA yang lebih efektif; dan

  3. menyelaras syarat-syarat kelulusan EIA yang relevan dan boleh diambil tindakan perundangan.

 Skop Kelima ialah Digitalisasi EIA. Antara penambahbaikan ialah:

  1. meningkatkan kebolehcapaian dan menyebarluaskan maklumat secara digital yang mudah difahami, interaktif dan memberi impak yang tinggi kepada pemegang taruh serta pemahaman orang awam dengan kaedah:

  1. penyediaan platform bagi pengemukaan EIA secara softcopy dengan izin.

  2. pembangunan sistem pemantauan dan pengawasan kualiti alam sekeliling bagi projek EIA; dan

  3. pembangunan sistem geospatial berkaitan dengan permohonan input pembangunan, Bidang Rujukan, Laporan EIA dan juga dokumen Pelan Pengurusan Alam Sekitar.

 2.      Semua penambahbaikan ini telah dan sedang dilaksanakan di bawah pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-12.


Sekian, terima kasih.



Attachments