Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

27 March 2024

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Perubahan Iklim, Geosains, Mineral

Nombor Soalan

53

Soalan

Dato' Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail [ Bandar Tun Razak ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan status keberkesanan langkah-langkah pelan tindakan Kementerian menangani bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan isu perubahan iklim yang kini menjadi masalah global.

Jawapan

1. Ancaman perubahan iklim seperti banjir dan kemarau berpanjangan akan memberi impak terhadap sektor pertanian dan keterjaminan makanan yang melibatkan hasil tanaman hasil pertanian, haiwan ternakan dan aset petani. 


2. Menyedari hal ini, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dengan kerjasama organisasi antarabangsa dan agensi tempatan sedang membangunkan Pelan Tindakan Adaptasi Kebangsaan (MyNAP). Dokumen ini akan menjadi panduan asas untuk merangka strategi tindakan negara bagi menangani kesan perubahan iklim seperti banjir, kenaikan paras laut, hakisan pantai dan kemarau. MyNAP ini adalah bersifat menyeluruh dan akan memerlukan penglibatan pihak berkepentingan di peringkat pusat dan kerajaan negeri.


3. Kementerian ini juga sedang menggubal Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN). Antara tujuan RUU ini antara lain memastikan tindakan-tindakan mitigasi dan adaptasi yang perlu dilaksanakan dapat dibuat secara efektif di peringkat pusat, kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan.


4. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sentiasa memantau situasi cuaca negara dan akan mengeluarkan maklumat dan amaran sekiranya bencana dijangka berlaku. 

5. Justeru, MET Malaysia sedang meningkatkan keupayaan model cuaca dengan mengadaptasi teknologi Sistem Komputer Berprestasi Tinggi (High Performance Computing (HPC). Produk-produk model ramalan cuaca numerikal yang dijanakan oleh Sistem HPC baharu ini membolehkan Jabatan menjangkakan risiko bencana cuaca 14 hari lebih awal berbanding hanya tujuh hari pada ketika ini. Ia juga akan membekalkan perincian bagi kawasan dilanda bencana dengan resolusi 300 meter berbanding 1 kilometer.

6. Dengan penambahbaikan berterusan yang dilakukan terhadap sistem ramalan cuaca negara, ia dijangka dapat menghasilkan ramalan yang lebih tepat dan seterusnya dapat membantu pihak agensi pengurusan bencana untuk bertindak lebih awal dalam memastikan keselamatan rakyat terjamin.


Sekian, terima kasih.



Attachments