Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

25 March 2024

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Perubahan Iklim

Nombor Soalan

10

Soalan

Tan Sri Haji Mohamad Fatmi bin Che Salleh minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan usaha Kerajaan untuk memastikan tahap pembebasan gas klorofluorokarbon dan hydroklorofluorokarbon ke lapisan ozon adalah terkawal kerana musim panas yang sedang melanda di negara dan kenaikan kadar penggunaan penyaman udara yang mendadak.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Konvensyen Vienna mengenai Perlindungan Lapisan Ozon merupakan rangka kerja yang telah ditubuhkan sejak tahun 1985 bagi mempromosi penyelidikan, pemantauan sistematik dan perkongsian maklumat berhubung kesan aktiviti manusia terhadap lapisan ozon serta langkah-langkah adaptasi bagi memulihara lapisan ozon.


  1. Protokol Montreal mengenai Bahan Penipisan Lapisan Ozon merupakan satu perjanjian antarabangsa Multilateral Environmental Agreement (MEA) yang telah ditubuhkan di bawah Konvensyen Vienna untuk menghentikan pengeluaran dan penggunaan Bahan Pemusnah Ozon (BPO) antaranya Klorofluorokarbon (CFC), Hidroklorofluorokarbon (HCFC), Halon, Karbon Tetraklorida (CTC) dan Metil Bromida. 


  1. Malaysia telah menjadi negara parti dan meratifikasi Konvensyen Vienna dan Protokol Montreal pada 29 Ogos 1989 serta semua pindaan di bawah Protokol ini. Terkini, Malaysia telah meratifikasi Pindaan Kigali pada 21 Oktober 2020 yang merupakan pindaan ke-9 kepada Protokol Montreal berkaitan pengurangan penggunaan (phase-down) hidrofluorokarbon (HFC). HFC merupakan gas alternatif kepada HCFC yang digunakan dalam Sektor Penyejukbekuan dan Penyaman Udara, pencegah kebakaran dan pelarut. HFC adalah gas rumah kaca (Greenhouse Gas - GHG) yang mempunyai potensi pemanasan global yang tinggi tetapi ia tidak menipiskan lapisan ozon (bukan bahan pemusnah ozon). 


  1. Sepanjang pelaksanaan obligasi negara di bawah Protokol Montreal, Malaysia telah berjaya menghentikan penggunaan Klorofluorokarbon (CFC), Halon dan Karbon Tetraklorida pada 1 Januari 2010 dengan menghentikan pengimportan bahan pemusnah ozon ini.


  1. Selain itu, Malaysia juga telah melaksanakan Pelan Pengurusan Penghapusan HCFC (Hydroclorofluorocarbon Phase-out Management Plan - HPMP) Peringkat I dari 2012 hingga 2016 dan telah berjaya menghapuskan sebanyak 19% daripada garis dasar (baseline) pada tahun 2015. Pelaksanaan HPMP Peringkat II pula telah dilaksanakan pada tahun 2017 hingga 2022 dan telah mencapai penghapusan HCFC sebanyak 42.9% daripada baseline pada tahun 2022. Pencapaian ini telah melebihi sasaran pengurangan yang ditetapkan oleh Protokol Montreal dan penggunaan HCFC dijangka dapat dihapuskan sepenuhnya pada tahun 2040.


  1. Dalam hubungan ini, pelbagai usaha telah dilaksanakan di bawah HPMP bagi mengurangkan penggunaan HCFC termasuk pelaksanaan Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Pengurusan Refrigeran) 2020 di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] yang melarang penggunaan HCFC dalam pengeluaran, pemasangan dan pengimportan peralatan berasaskan HCFC. 


  1. Kerajaan juga telah mengambil langkah proaktif dengan menyediakan latihan kepada juruteknik bertauliah yang mengendalikan penyelenggaraan penyaman udara dan refrigeran berasaskan bahan pemusnah ozon seperti HCFC diperoleh semula supaya tidak berlaku pelepasan ke atmosfera yang boleh menipiskan lapisan ozon.


Sekian, terima kasih.



Attachments